PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat hari ini sebak tatkala mengingatkan para hakim berkenaan tanggungjawab yang digalas oleh mereka.
Tengku Maimun yang memetik Surah An-Nisa, berkata tugas menghukum yang diamanahkan oleh Allah, perlu dilaksanakan dengan adil dan saksama.
Tegasnya, ayat suci Al-Quran itu menjadi pegangannya dalam melaksanakan tugas.

“Bagi saya, dalam melaksanakan tugas, saya akan terus berpegang dalam Surah An-Nisa’, ayat 58:
“Sesungguhnya
Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada
ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di
antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.
Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang
sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi
sentiasa Melihat.
“…dan Surah An-Nisa’, ayat 135:
“Wahai
orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang
sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan
kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu
bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau
miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang
memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah
lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan
hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu
memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi),
maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa
yang kamu lakukan,” katanya dalam nada sebak.
Beliau
berucap pada Majlis Meraikan Ketua Hakim Negara di hadapan para hakim,
peguam negara dan wakil-wakil badan guaman pada majlis yang berlangsung
di Istana Kehakiman di sini hari ini.
Bercakap soal kritikan rakyat terhadap tugas hakim, Tengku Maimun berkata sebarang kritikan perlu dilakukan dengan berhemah dan berdasarkan fakta.
“Jika terdapat tuduhan salah laku dalam kalangan hakim, saya menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang tuduhan, laporkan kepada pihak berkuasa supaya siasatan lanjut dapat dibuat.
“Orang awam juga boleh menulis kepada saya, Presiden Mahkamah Rayuan, Ketua Hakim bagi dua Mahkamah Tinggi untuk kami melakukan apa yang sepatutnya,” ujarnya.
Jelas beliau, tuduhan liar terutama yang dibuat di media sosial tanpa menyampaikan kepada saluran yang betul untuk tindakan sewajarnya, akan membawa kerugian bukan sahaja kepada sistem kehakiman negara, malah rakyat Malaysia secara amnya.