MELAKA 27 Mei – Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengadakan menyerahkan Rumah Peduli yang telah siap dibina kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka, minggu depan.
Menurut Pengarah JKR Melaka, Ismail Abd Rahman, pembinaan projek itu yang bermula 26 April tahun ini, selesai dibina seminggu lebih awal semalam (25 Mei) berbanding tarikh asal pada 31 Mei.
“Setakat ini, JKR baharu saja melaksanakan sebuah projek dan selebihnya akan dilaksanakan selepas raya.
“Penyerahan kepada pihak UPEN akan dibuat minggu depan,” katanya ringkas.
JKR merupakan antara agensi pelaksana yang bertanggungjawab membangunkan kediaman berkenaan.
Tiada makluman diterima mengenai bilangan unit yang telah selesai dibina.
21 Februari lalu, Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, sejumlah 60 unit Rumah Peduli akan dibina dan diberi secara percuma kepada rakyat yang memerlukan tahun ini.
Jelasnya, kerajaan negeri turut akan melihat perkembangan semasa untuk meningkatkan jumlah pembinaan unit kediaman berkenaan pada tahun hadapan.