Prestasi cemerlang PH akan menyukarkan gabungan Pas-Umno

Melihat kepada cara rakyat menilai dan memilih dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mampu memberi prestasi yang cemerlang pada penggal sulung ini, tidak dapat dinafikan gabungan baru Umno-Pas sukar untuk menggugat momentum PH

Melihat kepada cara rakyat menilai dan memilih dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mampu memberi prestasi yang cemerlang pada penggal sulung ini, tidak dapat dinafikan gabungan baru Umno-Pas sukar untuk menggugat momentum PH.

Melihat kepada cara rakyat menilai dan memilih dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mampu memberi prestasi yang cemerlang pada penggal sulung ini, tidak dapat dinafikan gabungan baru Umno-Pas sukar untuk menggugat momentum PH.

Demikian dinyatakan oleh Ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria

Katanya lagi, jika dilihat secara retro sebelum PRU ke-14 lagi, PH dianggap agak rapuh kerana dua parti gabungannya ketika itu, AMANAH dan Bersatu amat baharu dan kekuatan jentera pilihan rayanya pada pandangan umum ‘sangat lemah’.

Tegasnya, terdapat di peringkat Parlimen, AMANAH maupun Bersatu hanya mempunyai kekuatan yang terhad, tetapi tetap mampu meraih sokongan rakyat dalam PRU yang lalu.

“Secara langsung ini memperlihatkan rakyat menilai parti politik dari pelbagai aspek, bukan hanya kepada kekuatan parti semata-mata.

“Sekiranya rakyat menilai dari sudut kekuatan parti, maka adalah mustahil parti-parti PH boleh menang.

“Sebagai contoh, kerusi Parlimen Permatang Pauh merupakan satu kawasan yang tidak begitu besar, tetapi mempunyai hampir 100 cawangan Umno, tetapi mereka tetap gagal merampas kerusi parlimen tersebut,” jelasnya.

Menurutnya lagi, penilaian rakyat tatkala itu banyak dibantu oleh media sosial yang begitu terbuka, seolah-olah tiada sempadan.

Walau bagaimanapun ujarnya, apa jua alasan kekalahan Umno-BN dalam PRU ke-14 yang lalu, semuanya adalah berpusat kepada hilangnya keyakinan rakyat kepada kerajaan ketika itu, iaitu Umno-BN yang menerajui pentadbiran khususnya melibatkan ketirisan wang negara yang berskala besar.

Manakala kehidupan majoriti rakyat marhaen ketika itu pula katanya, masih susah dan berkesempitan yang teramat sangat.

“Kerajaan PH kemudiannya telah berjaya menjayakan konsep negara berkebajikan, dari rakyat untuk rakyat serta merangkumi pelbagai aspek kehidupan rakyat.

“Ia juga telah berjaya meringankan beban dan kos sara hidup, pekerjaan yang lebih baik untuk rakyat dan menyukarkan gabungan Umno-Pas untuk menggugat kekuatan sedia ada.

“Bagaimana PH mengisi kemenangan PRU ke-14 menjadi faktor utama menentukan kedudukan PH menjelang PRU ke-15 yang akan datang walaupun adanya gabungan Umno-Pas yang telah dimeterai,” kata beliau.

Dr Zaidi juga berkata, melihat kepada gabungan Umno-Pas, rakyat belum yakin dengan gabungan ini sama ada ia benar-benar kukuh memandangkan falsafah, fikrah, kefahaman budaya dan ideologi politik kedua-duanya amat berbeza.

“Realitinya pertembungan perbezaan ini begitu besar yang bukan terlalu mudah boleh diselesaikan atas alasan ‘Kita Melayu-Islam’.

“Umno terutamanya belum lagi mampu untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepadanya setelah pemimpin tertingginya diheret seorang demi seorang ke muka pengadilan.

“Di peringkat akar umbi pula, Umno dan Pas tidak begitu mudah untuk ahli-ahli mereka menerima ‘musuh tradisi’ yang berabad-abad lamanya,” tambah beliau.

Namun begitu tegasnya, Umno dan Pas masih mempunyai antara empat hingga lima tahun bagi meyakinkan ahli-ahli parti mereka dan rakyat bahawa mereka mampu untuk duduk bersama.

Secara jujurnya kata beliau, PH tidak boleh mengambil mudah dan memandang enteng ancaman gabungan Umno-Pas tersebut.

Rasuah S$4.2 juta : Zahid didakwa 7 tuduhan

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tujuh pertuduhan menerima rasuah lebih S$4.2 juta (1 dolar kira-kira RM3.05) bagi melanjutkan kontrak syarikat Ultra Kirana sebagai pengendali One Stop Center (OSC) di negara China.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tujuh pertuduhan menerima rasuah lebih S$4.2 juta (1 dolar kira-kira RM3.05) bagi melanjutkan kontrak syarikat Ultra Kirana sebagai pengendali One Stop Center (OSC) di negara China.

Ahmad Zahid Hamidi, 66, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pada prosiding yang bermula pada jam 9.15 pagi itu, Ahmad Zahid yang hadir ke mahkamah memakai kemeja batik dan seluar hitam, dengan ditemani anak perempuannya, Nurul Hidayah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima suapan daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, iaitu wang tunai berjumlah keseluruhan S$4,240,000.

Tindakan itu sebagai dorongan melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai Pengendali Perkhidmatan One Stop Center (OSC) di negara China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, antara Mac 2017 dan Mac 2018.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar menawarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

“Disebabkan tertuduh sebelum ini pernah didakwa di mahkamah, pasportnya sudah berada dalam simpanan mahkamah,” katanya.

Peguam Kitson Foong, yang mewakili Ahmad Zahid tidak membantah dan bersetuju dengan jumlah jaminan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

“Memang benar pasport tertuduh telah diserahkan kepada mahkamah sebelum ini,” kata peguam itu.

Mahkamah kemudiam membenarkan Ahmad Zahid diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari lalu, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 47 pertuduhan, dengan 12 pertuduhan daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Kesnya kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan mahkamah itu menetapkan 18 November hingga 22 November, 2 Disember hingga 6 Disember dan 9 Disember hingga 13 Disember ini untuk perbicaraan.

Dakwaan pemindahan wang RM3.1 juta kepada Azmin tidak wujud

Dakwaan pemindahan wang berjumlah US$741,440 (kira-kira RM3.1 juta) daripada gergasi kejuruteraan UEM Group Berhad ke dalam akaun bank yang didakwa milik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak wujud – Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki

Dakwaan pemindahan wang berjumlah US$741,440 (kira-kira RM3.1 juta) daripada gergasi kejuruteraan UEM Group Berhad ke dalam akaun bank yang didakwa milik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak wujud, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

Beliau mengesahkan ketidakwujudan transaksi itu dan akaun di atas nama Mohamed Azmin, selepas siasatan dijalankan berikutan laporan polis oleh Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam awal bulan ini.

“Kami dapati transaksi antara akaun-akaun dan akaun itu sendiri tidak wujud,” katanya di sini hari ini sebagai menjawab soalan media berhubung perkembangan kes itu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini.

Terdahulu, beliau menghadiri prosiding kes bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menghadapi tujuh pertuduhan rasuah berjumlah SGD4.24 juta membabitkan Sistem Visa Luar Negara, di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Azam mendedahkan siasatan SPRM turut mendapati tiada akaun bank yang dikatakan sebagai akuan Deutsche Bank di atas nama Mohamed Azmin yang didakwa dibuka pada September 2012.

Beliau berkata SPRM akan memanggil lebih ramai orang untuk direkodkan kenyataan berkaitan kes itu, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan nama mereka.

Pada 11 Jun, Lokman Noor memfailkan laporan kepada SPRM dengan mendakwa UEM memindahkan US$741,440 ke dalam akaun Malayan Banking Berhad atas nama Mohamed Azmin, yang merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Timbalan Presiden PKR, pada 19 Dis 2017.

Ketika menyangkal dakwaan itu, UEM menafikan pemilikan akaun bank yang didakwa itu dan pemindahan wang yang dikatakan itu ke dalam akaun Mohamed Azmin.

Maybank turut menafikan dakwaan sama dan berkata dokumen membabitkan bank itu telah dipalsukan.

Mengenang Morsi : Revolusi Separuh Hati

“Kematian bekas Presiden Morsi selepas bertahun-tahun ditindas kerajaan, dipenjara bersendirian, penjagaan perubatan yang tidak mencukupi, kekurangan lawatan keluarga dan akses kepada peguam,” kata Whitston, beberapa jam selepas kematian Morsi.

Saya dua kali ke Mesir, sebelum dan selepas revolusi.

Negara yang lebih panas dan sejuk dari tempat kita berdasarkan musim. Negara di mana firaun-firaun memerintah dan mati.

Sejak sekolah menengah, saya mengikuti perkembangan Mesir melebihi negara-negara luar lain. Ini kerana bagi kami pelajar aliran agama, Mesir atau lebih tepat Universiti Al Azhar adalah destinasi seterusnya.

Bahkan sehingga kini, selepas 20 tahun menjadi wartawan, saya lebih memahami berita politik di Mesir daripada di Thailand, misalnya.

Saya mengaku bahawa saya adalah simpatisan Muhammad Morsi, presiden Mesir yang pertama dipilih secara demokratik.

Penulis di Dataran Tahrir

Sebelum tidur, tiga hari sudah, saya terkejut membaca berita Morsi jatuh dan mati di ruang mahkamah, memakai baju penjara berwarna biru, selepas berhujah selama 20 minit di mana dia mendedahkan semua pertuduhan yang pengintip yang dihadapinya adalah rekaan olehnya musuh politik dan pihak pendakwa raya.

Presiden Turki ‘Sultan’ Erdogan mengatakan dengan jelas bahawa Morsi syahid dan mati dibunuh.

Bekas ketua perkhidmatan rahsia Perancis Bernard Bajolet, dipetik akhbar Kuwait mendakwa kematian Morsi mungkin ada kaitan dengan kehadiran Penasihat Keselamatan UAE Tahnoon Bin Zayed Al Nahyan ke Kaheran baru-baru ini.

Pengarah eksekutif Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) Timur Tengah dan Afrika Utara, Sarah Leah Whitson, menulis tweet bahawa kematiannya adalah “dahsyat tetapi sudah dijangka”.

“Kematian bekas Presiden Morsi selepas bertahun-tahun ditindas kerajaan, dipenjara bersendirian, penjagaan perubatan yang tidak mencukupi, kekurangan lawatan keluarga dan akses kepada peguam,” kata Whitston, beberapa jam selepas kematian Morsi.

Akhbar burukkan Ikhwanul Muslimin

Saya membaca akhbar berpengaruh Mesir, Al-Ahram, yang memilih untuk memburukkan Ikhwanul Muslimin dan Morsi sebagai cara mengenang kematian bekas presiden mereka sendiri.

Al-Ahram menulis namanya sebagai Mohamed Morsi El-Ayyat, seolah-olah seorang lelaki biasa telah mati sebab-sebab semula jadi, bukan sebagai bekas presiden yang meninggal ketika berhujah di mahkamah.

Akhbar yang diasaskan tokoh kewartawanan Arab Mohammed Hussein Heikal memang dekat dengan pemerintahan tentera sejak zaman Presiden Gamal Abdul Naseer lagi, tapi rencana editorialnya tidak pernah serendah ini.

Bagi saya, mengenang Morsi adalah mengenang orang biasa yang menjadi luar biasa secara tiba-tiba. Namanya tidak pernah didengar dalam politik Mesir di zaman Hosni Mubarak.

 Beliau bukan pilihan pertama Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), sayap politik Ikhwanul Muslimin tetapi dengan menamakan Morsi, FJP mengaut 12.2 juta undi rakyat Mesir (yang sebetulnya undi protes) menewaskan Ahmed Shafik pencabar setia Hosni Mubarak.

Morsi cuba melakukan yang terbaik, mengimbangi kuasa yang terlalu besar, tapi beliau melakukan banyak salah daripada yang betul.

Kesilapan utama Morsi ketika masa ‘bulan madu’ adalah terlalu lambat dan lembut. Morsi tidak tegas menangani permusuhan antara tentera, sektor swasta, dan beberapa negara jiran Mesir.

Morsi, yang berlatar belakang seorang ahli akademik, bukan pemimpin politik yang cekap bermuslihat, beliau cuba memenangi hati semua pihak yang bagaimanapun terluka kerana ketidaktegasannya, sehingga menyebabkan pemegang taruh yang membentuk Mesir Baru rindu kembali pemerintahan yang garang dan berkesan.

Temu janji Morsi-Najib

Jika kita mengkaji apa beza perubahan politik di Indonesia dan Mesir, era Seoharto dan Mubarak, dan selepasnya, kejayaan Indonesia melalui BJ Habibie adalah melakukan reform besar-besaran terhadap undang-undang yang menindas.

Lebih 1,000 akta dan seksyen drakonian dihapuskan ketika era reformasi BH Habibie, memang beliau tidak popular, tetapi Presiden Indonesia selepas BJ Habibie sehingga kini menikmati buah dari usaha yang tidak popular itu.

Pertama, sebagai Presiden Mesir Baru, Morsi gagal untuk melakukan perubahan perlembagaan yang selama ini dibentuk untuk mengekalkan hagemoni tentera Mesir.

Kedua kegagalan melakukan pembaharuan ekonomi yang menjamin keadilan sosial, yang telah menjadi rungutan demostran di Dataran Tahrir.

Inflasi dan kemiskinan meningkat, ekonomi bergerak tanpa hala tuju (Morsi melantik dan memecat tiga menteri kewangan dalam satu tahun).

Manakala kerana sifatnya sebagai Presiden Mesir Baru yang demokratik, Morsi membiarkan bantahan dan demonstrasi mengkritik kerajaan yang dipimpinnya.

Setiap minggu, satu berakhir dengan berganti lagi satu demontrasi anti kerajaan.

Dari tahun 2012 hingga 2013, Kaherah merupakan bandar demonstrasi mingguan sehingga memberi gambaran kepada media dan pelabur asing kerajaan hilang arahan dan kawalan (command and contral) terhadap polis dan tentera.

Saya ingat awal tahun 2013 seorang pegawai bekas Perdana Menteri Najib Razak bersungut kepada saya, bagaimana Morsi membuat temu janji mahu bertemu dengan Najib di KLIA untuk meminta beberapa nasihat sebelum pesawatnya balik semula ke Mesir.

Beliau tidak cukup masa untuk buat lawatan rasmi tiga hari layaknya seorang ketua negara kepada ketua negara yang lain.

Minta nasihat Mahathir

Najib seorang yang menghormati protokol, beliau tidak boleh menemui kepala negara, macam jumpa kawan lama dekat lapangan terbang. Permintaan tersebut ditangguhkan, kebetulan Malaysia pun bersiap nak pilihan raya umum ke 13.

Akhirnya kedua-dua mereka tidak bertemu.

Dr Mahathir Mohamad juga pernah diminta untuk memberikan nasihat kepada Morsi, melalui kumpulan ‘Pakatan Pelangi’ yang dibuat di kalangan intelektual penyokong demokrasi, dan saya difahamkan, permintaan tersebut datang terlalu lambat, hanya tiga bulan sebelum Morsi digulingkan.

Menjelang ulang tahun pertama pemerintahannya, pada Jun 2013, Morsi berdepan demonstrasi harian oleh berbagai pihak, diburukkan lagi dengan sabotaj politik dan ekonomi yang bersistemetik terhadap bekalan elektrik di beberapa kawasan padat di Kaherah, selain kenaikan harga gandum yang diimport daripada luar, gandum di Mesir seperti beras di Malaysia, harga gandum yang tinggi menyebabkan Morsi menjadi tidak popular lagi.

Polis berkawal di perkuburan Morsi dikebumikan.

Pada 3 Julai, tentera Mesir yang selama ini menjadi ‘kerajaan bayangan’ melakukan aksi rampasan kuasa berdarah. Morsi ditahan, ratusan penyokong Ikhwanul Muslimin terbunuh dalam bantahan akhir menghalang rampasan kuasa, ribuan lagi ditangkap.

Morsi yang ucapan pertamanya sebagai Presiden Mesir adalah untuk melaksanakan amanah ‘darah shuhada’ yang menuntut revolusi, akhirnya membayar dengan harga mati.

Ucapan akhirnya beberapa jam sebelum rampasan kuasa, “Sekiranya harga untuk menjaga legitimasi adalah darah saya, saya bersedia untuk mengorbankannya untuk tanah air ini,” terdengar seperti ‘nyanyian angsa’ (swan song).

Ucapan yang gagal memberikan inspirasi seperti kenyataan Erdogan di Turki melalui aplikasi Facetime ketika berdepan situasi yang sama Julai 2016.

Selepas rampasan kuasa tentera, Menteri Pertahanan yang dilantik Morsi, Jeneral Abdel Fattah Al-Sisi mengkhianatinya tanpa belas kasihan, Morsi dituduh pengganas dan pengintip, dikurung di penjara berseorangan selama 23 jam sehari, sepanjang enam tahun dipenjara, hanya tiga kali lawatan keluarga diberikan.

Kita yang membesar dengan membaca Mathurat (disusun pengasas Ikhwanul Muslimin Hassan Al Banna), membaca penderitaan Syed Qutub berjam-jam mendengar pidato Presiden Gamel Abdel Naser melalui pembesar suara dalam sel penjara, mudah untuk bersimpati dengan Morsi.

Beliau menjadi titik yang menyambung penderitaan yang ditanggung Hassan Al Banna, Syed Qutub dan lain-lain yang mengalami ketidakadilan yang kasar dengan dipenjarakan dan diheret ke mahkamah yang tidak bebas, sementara orang yang merompak Mesir dan menganiaya dan melakukan jenayah terhadap rakyatnya berkuasa.

Kita mengakui kelemahan Morsi dan boleh tidak bersetuju dengan banyak dasar beliau, tetapi seorang bekas ketua negara tidak patut diperlakukan seperti itu, yang melanggar semua norma keadilan dan hak asasi manusia.

Morsi telah syahid. Dan seperti martir yang lainnya, lebih terkenal selepas kematiannya.

Mengenang Morsi, saya ingin tutup dengan sebaris perenggan daripada novel Naguib Mahfuz The Beginning and the End.

Ia supaya kita faham bagaimana kuatnya tentera mempengaruhi hati dan minda rakyat Mesir.

“Kawannya memberitahu, pegawai-pegawai tentera sangat sombong dan bergaji tinggi, kerja mereka, seperti bermain, tak buat apa-apa. Keterangan memberikan motivasi kepada Hassanein dan memperteguh impian beliau menjadi pegawai tentera.”

Demokrasi kalah. Morsi kalah. Revolusi di tanah para firaun adalah revolusi separuh hati.

HELME HANAFI ialah penulis dan penerbit buku.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysian Voice

“Ini Kuasa Allah”-Ucap Tun Dr. Mahathir Saat Melawat Adik Ainul Di London.

Tun Dr.Mahathir juga berkata ianya satu keajaiban, sehinggakan ibubapanya sendiri tidak menyangka adik Ainul akan diterbangkan ke London dari Malaysia, serta dibedah oleh pakar di sini, yang salah seorangnya juga ialah rakyat kita sendiri.

PERDANA Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad telah hadir ke hispital di London bagi meluangkan masa melawat bayi menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin.

Kehadiran pemimpin negara itu disambut dengan baik oleh pihak hospital dan juga pasukan doktor yang merawat Ainul Mardhiah.

Image result for tun m lawat ainul

Turut juga kelihatan ibu bapa bayi berusia sembilan bulan terbabit, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, dan Nurul Erwani Zaidi, 24.

Perdana Menteri berada di United Kingdom untuk lawatan rasmi tiga hari sejak Jumaat lalu.

Ainul Mardhiah telah pun selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya yang seberat 200 gram di mulut dan leher oleh sekumpulan pakar bedah pada 10 Jun lalu. Puteri kecil itu kini dipindahkan ke wad biasa sejak Jumaat lalu.

Tun Dr.Mahathir juga berkata ianya satu keajaiban, sehinggakan ibubapanya sendiri tidak menyangka adik Ainul akan diterbangkan ke London dari Malaysia, serta dibedah oleh pakar di sini, yang salah seorangnya juga ialah rakyat kita sendiri.

“Ini semua kuasa Allah”kata Tun Dr.Mahathir.

Pembedahan adik Ainul Mardhiah dilaporkan melebihi sebanyak RM1 juta ringgit.

Dipanggil Allah Tanpa Sempat Musuh Membunuhnya : Perginya Dr.Morsi

Dr. Morsi dilayan dengan kejam di penjara Tora yang digelar penjara ‘Kala Jengking’

1.Terkini dilaporkan bahawa Dr. Mohamed Morsi – Presiden Mesir yang sah dari Ikhwan Muslimin yang digulingkan oleh tentera pro-Israel pimpinan al-Sisi pada 2013 – telah syahid meninggalkan kita.

2.Beliau dilaporkan rebah dan pengsan sewaktu sesi perbicaraan di mahkamah dan disahkan meninggal dunia pada usia 67 tahun.

3.Sebelum ini banyak pemerhati antarabangsa mempersoalkan layanan ke atas beliau. Dr. Morsi dilayan dengan kejam di penjara Tora yang digelar penjara ‘Kala Jengking’ – malah hingga ke tahap di mana sebuah panel yang dinamakan Detention Review Panel (DRP) yang turut dianggotai para peguam dan ahli parlimen Britain mengecam kaedah tahanan ini yang dicela sebagai ‘di bawah tahap yang sepatutnya berdasarkan undang-undang antarabangsa’.

Image result for morsi

4.Melalui Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), Dr. Morsi mengetuai Jemaah Ikhwan Muslimin memenangi pilihan raya presiden pada Jun 2012. Kerajaan Dr. Morsi dituduh hanya melantik anggota Ikhwan yang merupakan ahli politik FJP sahaja dalam kerajaan sedangkan sebenarnya Dr. Morsi telah melantik tiga orang wanita dan dua orang ahli politik Kristian ke jawatan utama pada Ogos 2012.

5.Ramai pihak menuduh kononnya Dr. Morsi tergesa-gesa dalam cubaan mereformasi angkatan tentera Mesir – contohnya tindakan beliau melucutkan kedudukan Panglima Mohamed Hussein Tantawi dan Leftenan Jeneral Sami Hafez Anan serta memecat Pengarah Perisikan Murad Muwafi.

6.Namun pada hakikatnya Dr. Morsi telah berusaha mengimbangi tuntutan tentera – langkah sama yang dilakukan Erdogan di Turki – termasuklah memberi pelbagai kelebihan kepada belanjawan dan syarikat milik tentera. Contohnya ialah pengecualian pemotongan subsidi minyak, imuniti daripada semakan dan kawalan belanjawan, dan juga autonomi sistem buruh yang diamalkan syarikat milik tentera Mesir.

7.Malah, tentera Mesir melalui SCAF juga menerima beberapa keutamaan dalam projek kerajaan seperti projek automotif Al-Nasr Automotive Manufacturing Company (NASCO) yang diserahkan kepada Kementerian Pengeluaran Pertahanan dan juga projek tablet ala-iPad Mesir, Inar yang diberi kepada Benha Electronics Company (Benha) yang sebahagiannya juga milik Kementerian Pengeluaran Pertahanan Mesir.

8.Kerajaan FJP pimpinan Dr. Morsi juga bertindak menghentikan rancangan penswastaan besar-besaran aset kerajaan – termasuklah syarikat-syarikat milik tentera Mesir. Selain itu, Dr. Morsi turut memberikan posisi yang tinggi kepada para pegawai tentera di Autoriti Terusan Suez, Pertubuhan Arab untuk Perindustrian, dan juga kedudukan di Kementerian Pertahanan – di samping berjanji mewujudkan kehadiran tentera Mesir di Sinai dan juga mempelbagaikan sumber persenjataan asing dan latihan buat tentera Mesir.

9.Walau bagaimanapun, kerajaan Dr. Morsi juga mengusahakan pengurangan monopoli tentera dalam projek berskala besar dan berimpak tinggi Mesir seperti dalam kes Projek Pembangunan Koridor Terusan Suez. Rancangan Dr. Morsi untuk menjadikan Terusan Suez sebagai hab logistik dan pusat pembuatan barangan berat global ini tentulah menarik firma-firma berkaitan tentera yang dominan di Mesir seperti kilang pembuatan menara, kotak gear, dan juga bilah fiberglass yang digunakan dalam turbin angin.

10.Namun begitu, kerajaan Dr. Morsi bertindak meletakkan posisi pembuatan keputusan tertinggi projek gergasi ini di tangan Timbalan Perdana Menteri yang melapor secara terus kepada beliau, sekali gus mengetepikan kedudukan dominan tentera Mesir. Langkah inilah sebenarnya yang membawa kepada rampasan kuasa tentera menjatuhkan kerajaan Dr. Morsi.

11.Mahkamah Tinggi Perlembagaan Mesir menjadi ancaman seterusnya yang berusaha menggugat kerajaan Dr. Morsi dahulu. Contoh yang paling nyata apabila ia bertindak membubarkan Dewan Perwakilan Rakyat yang dipilih rakyat pada Jun 2012 – sejurus sebelum Dr. Morsi memenangi pilihan raya Presiden dalam bulan yang sama. Pembubaran ini susulan kejayaan Ikhwan Muslimin melalui parti FJP menguasai majoriti kerusi parlimen pada waktu itu.

12.Kerajaan Dr. Morsi juga difitnah cuba menjadi diktator semata-mata kerana mengusahakan pemusatan kuasa eksekutif di tangan Presiden. Hakikat sebenarnya ialah langkah ini terpaksa diambil bagi melindungi proses penggubalan Perlembagaan Mesir agar selari dengan keseimbangan antara hak asasi manusia dan Syariah. Langkah ini jelas bersifat pencegahan kerana kuasa eksekutif yang kuat diperlukan untuk melindungi Perlembagaan daripada disabotaj para hakim pro-bekas diktator, Hosni Mubarak yang jelas menguasai Mahkamah Tinggi Perlembagaan Mesir.

13.Akibat pakatan tentera Mesir dengan firma-firma gergasi (yang sengaja menjahanamkan bekalan tenaga dan keperluan asas rakyat selepas kemenangan FJP pimpinan Dr. Morsi) serta media (seperti Nilesat yang menguasai satelit strategik dalam menyiarkan berita palsu dan fitnah), emosi sebahagian rakyat Mesir telah dibakar untuk sekali lagi berhimpun – kali ini memberi tekanan ke atas kerajaan Morsi agar meletak jawatan.

14.Sejarah menjadi saksi betapa akhirnya Dr. Morsi telah ditahan dan digulingkan oleh tentera Mesir di bawah al-Sisi – yang hari ini telah membawa kerosakan dahsyat ke atas kehidupan rakyat Mesir dan juga sistem politik mereka akibat ketiadaan ilmu pentadbiran dan juga kerakusan membolot hasil negara ke tangan kroni tentera.

15.Campur tangan asing juga jelas menjadi faktor besar dalam konteks politik Mesir ini – negara seperti Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dikesan menyalurkan dana berulang kali kepada para jeneral tentera Mesir dalam merencana gerakan Tamarroud bagi menjatuhkan kerajaan FJP Dr. Morsi. Arab Saudi juga secara terbuka dinamakan sebagai antara perancang utama gerakan rampasan kuasa tentera ini dengan kerjasama erat Jeneral al-Sisi yang ketika itu merupakan Menteri Pertahanan.

16.Tidak menghairankan sama sekali apabila hanya seminggu selepas Dr. Morsi dijatuhkan, UAE telah menjanjikan sokongan sebanyak USD3 bilion manakala Arab Saudi pula menjanjikan USD5 bilion kepada rejim tentera Mesir pro-Israel pimpinan al-Sisi itu (UAE juga didakwa kerajaan AKP pimpinan Erdogan sebagai dalang rampasan kuasa Turki pada 2016).

17.Sesungguhnya kita kehilangan seorang tokoh Islamis yang bukan sahaja menghafal al-Quran dan cemerlang sebagai teknokrat kejuruteraan dengan PhD dari University of Southern California, Amerika, serta berpengalaman diiktiraf NASA, tetapi juga pemimpin Mesir yang mampu menguatkan Ummah dan menggerunkan Zionis. Ayuh kita doakan semoga Allah gantikan kehilangan ini dengan pemimpin yang tidak kurang hebatnya.

18.Ya Allah! Kami sepenuhnya yakin dan percaya, kami ini milik Allah dan hanya akan kembali kepada-Nya. Duhai Allah! Berilah kami kebaikan untuk ujian yang kami terima, dan gantilah apa yang hilang dari diri kami dengan sesuatu yang lebih baik.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

PM Mohon Kuota Tambahan Haji Dari Arab Saudi

“Kita sebenarnya kalau boleh nak secepat mungkin. Sebab bila kita dapat kouta tambahan, banyak benda kita perlu sediakan seperti penginapan jemaah dan penerbangan.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sudah menghantar surat kepada kerajaan Arab Saudi bagi memohon tambahan kouta haji tahun ini untuk 10,000 jemaah.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Zukri Samat yang memaklumkan pihaknya kini sedang menunggu jawapan dari Riyadh.

“Buat masa ini belum lagi (menerima jawapan). Kita telah mohon jasa baik untuk mempertahankan kuota haji tambahan sebanyak 10,000.

“Kita tak dapat 10,000 pun tak mengapa, 8,000 pun sudah memadai.

“Perdana Menteri pun sudah menulis surat rasmi kepada kerajaan Arab Saudi,” katanya kepada media selepas Majlis Khatam Al-Quran dan TH World #QuranHour di ibu negara, hari ini.

Hadir sama Pengerusi TV Al Hijrah, Hussamuddin Yaacub yang juga Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd.

Pada 4 Mei lalu, TH memaklumkan yang pihaknya sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan Arab Saudi bagi permohonan tambahan kuota untuk 10,000 lagi jemaah.

TH dalam kenyataannya berkata, berdasarkan rekod 10 tahun lalu, sebanyak empat kali permohonan kuota tambahan tidak diluluskan, iaitu pada 2013, 2014, 2015 dan 2016.

Ia sekali gus menyangkal dakwaan yang mengatakan umat Islam hilang kuota tambahan haji tahun ini seperti didakwa Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Kuota rasmi yang diberikan Arab Saudi kepada Malaysia bagi tahun 2019 sebanyak 30,200.

Dalam pada itu Zukri menjelaskan, TH berharap agar kerajaan Arab Saudi dapat memberi jawapan secepat mungkin bagi memudahkan pihaknya membuat persediaan untuk jemaah.

“Kita sebenarnya kalau boleh nak secepat mungkin. Sebab bila kita dapat kouta tambahan, banyak benda kita perlu sediakan seperti penginapan jemaah dan penerbangan.

“Jadi, lebih awal kita terima kuota, lebih baik pengurusan kita. Kos juga akan bertambah jika terlalu lewat,” jelasnya.

Tambah Zukri penerbangan pertama jemaah haji akan bermula pada 4 Julai nanti dan penerbangan terakhir pada 4 Ogos dan umat Islam dijangka akan wukuf pada 10 Ogos.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS letak jawatan

Pesuruhjaya Perlindungan Sempadan dan Kastam AS Kevin McAleenan akan memangku jawatan itu, kata Trump.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad menulis di akaun Twitter bahawa Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Kirstjen Nielsen “akan mengosongkan jawatannya,” lapor agensi berita China Xinhua.

Pesuruhjaya Perlindungan Sempadan dan Kastam AS Kevin McAleenan akan memangku jawatan itu, kata Trump.

Pengumuman itu dibuat selepas media AS melaporkan bahawa Nielsen menghantar surat peletakan jawatan beliau pada Ahad dalam satu pertemuan dengan Trump.

“Meskipun terdapat kemajuan dalam pembaharuan keselamatan dalam negeri untuk berdepan era baharu, saya berpendapat ini adalah masa yang tepat untuk saya mengundurkan diri. Saya harap setiausaha berikutnya akan memiliki sokongan Kongres dan mahkamah,” kata Nielsen dalam surat peletakan jawatannya.

Tidak jelas apa alasan peletakan jawatan Nielsen.

Media AS iaitu CNN memetik seorang pegawai kerajaan sebagai berkata Nielsen mendapati bahawa beliau “tidak dapat bertahan” susulan permintaan yang dibuat oleh Trump.

New York Times melaporkan bahawa Trump tidak gembira dengan Nielsen kerana jumlah pendatang haram yang memasuki AS meningkat dan menyalahkan beliau kerana tidak melakukan tindakan sewajarnya untuk menjaga kawasan sempadan.

Nielsen, 46, telah dilantik ke jawatan itu pada 6 Dis 2017 selepas penyandangnya, John Kelly dinaikkan pangkat sebagai ketua turus kakitangan Rumah Putih manakala McAleenan, 47, bertugas sebagai Pesuruhjaya Perlindungan Sempadan dan Kastam sejak 20 Jan 2017.

– Bernama

Rosmah ditangkap SPRM

Isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor hari ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor hari ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut kenyataan agensi antirasuah itu Rosmah ditahan berhubung siasatan mereka terhadap projek tenaga solar kerajaan.

Kata SPRM mereka menahan isteri Najib Razak itu kira-kira lima minit selepas beliau hadir untuk melengkapkan proses akhir siasatan projek tersebut pada jam 1.40 petang.

“SPRM telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Rosmah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi esok,” katanya.

Menurut SPRM Rosmah sudah dibebaskan dengan jaminan petang ini.

Esok tokoh berprofil tinggi itu akan berdepan dengan tuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Mengikut peruntukan itu seseorang itu boleh dianggap bersalah jika menerima atau bersetuju untuk menerima suapan untuk diri sendiri atau orang lain.

Jika didapati bersalah Rosmah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan, atau RM10,000 bergantung kepada mana yang lebih tinggi.

Untuk rekod sebelum ini pun Rosmah sudah berdepan dengan 22 tuduhan di mahkamah, termasuk 17 membabitkan dakwaan pengubahan wang haram.

Beliau didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001

Tuduhan lain yang dikenakan ke atas Rosmah ialah meminta rasuah sebanyak RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta bagi projek bersepadu solar hibrid untuk sekolah di Sarawak.