PAS tidak jamin kerjasama dengan pihak lain akan kekal – Ahmad Yaakob

“Kita tak boleh jamin kita akan kekal macam ini tetapi kehendak politik semasa mungkin berubah. Setakat ini itulah yang ada pada kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kelantan Charity Drive 2019

Kehendak politik terutama berkaitan penyatuan orang Melayu Islam dalam satu gagasan mungkin berubah dari semasa ke semasa, kata Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob.


Oleh itu PAS tidak boleh menjamin kerjasama yang terjalin dengan mana-mana pihak ketika ini akan kekal selama-lamanya kerana ia bergantung kepada perkembangan politik semasa.


“Sekarang ini, (berkaitan) masalah politik, buat masa ini (kita kekal bekerjasama dengan UMNO dan parti lain dalam Gagasan Sejahtera) tetapi terpulanglah kepada masa depan, kepada suasana pada masa itu.


“Kita tak boleh jamin kita akan kekal macam ini tetapi kehendak politik semasa mungkin berubah. Setakat ini itulah yang ada pada kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kelantan Charity Drive 2019 di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, hari ini.


Ahmad mengulas mengenai pelawaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta semua parti politik Melayu termasuk UMNO untuk menyertai Bersatu dalam usaha menyatupadu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.


Ahmad turut mengakui kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.


“(Kenyataan) itu sebenarnya kita kena terima… apabila orang (Melayu) sudah berpecah kita memang lemah. Sekarang ini usaha kita nak kumpul semula kekuatan khususnya orang Melayu bagi mempertahankan keutuhan orang Melayu yang beragama Islam,” katanya.

Prestasi cemerlang PH akan menyukarkan gabungan Pas-Umno

Melihat kepada cara rakyat menilai dan memilih dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mampu memberi prestasi yang cemerlang pada penggal sulung ini, tidak dapat dinafikan gabungan baru Umno-Pas sukar untuk menggugat momentum PH

Melihat kepada cara rakyat menilai dan memilih dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mampu memberi prestasi yang cemerlang pada penggal sulung ini, tidak dapat dinafikan gabungan baru Umno-Pas sukar untuk menggugat momentum PH.

Melihat kepada cara rakyat menilai dan memilih dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu, sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mampu memberi prestasi yang cemerlang pada penggal sulung ini, tidak dapat dinafikan gabungan baru Umno-Pas sukar untuk menggugat momentum PH.

Demikian dinyatakan oleh Ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria

Katanya lagi, jika dilihat secara retro sebelum PRU ke-14 lagi, PH dianggap agak rapuh kerana dua parti gabungannya ketika itu, AMANAH dan Bersatu amat baharu dan kekuatan jentera pilihan rayanya pada pandangan umum ‘sangat lemah’.

Tegasnya, terdapat di peringkat Parlimen, AMANAH maupun Bersatu hanya mempunyai kekuatan yang terhad, tetapi tetap mampu meraih sokongan rakyat dalam PRU yang lalu.

“Secara langsung ini memperlihatkan rakyat menilai parti politik dari pelbagai aspek, bukan hanya kepada kekuatan parti semata-mata.

“Sekiranya rakyat menilai dari sudut kekuatan parti, maka adalah mustahil parti-parti PH boleh menang.

“Sebagai contoh, kerusi Parlimen Permatang Pauh merupakan satu kawasan yang tidak begitu besar, tetapi mempunyai hampir 100 cawangan Umno, tetapi mereka tetap gagal merampas kerusi parlimen tersebut,” jelasnya.

Menurutnya lagi, penilaian rakyat tatkala itu banyak dibantu oleh media sosial yang begitu terbuka, seolah-olah tiada sempadan.

Walau bagaimanapun ujarnya, apa jua alasan kekalahan Umno-BN dalam PRU ke-14 yang lalu, semuanya adalah berpusat kepada hilangnya keyakinan rakyat kepada kerajaan ketika itu, iaitu Umno-BN yang menerajui pentadbiran khususnya melibatkan ketirisan wang negara yang berskala besar.

Manakala kehidupan majoriti rakyat marhaen ketika itu pula katanya, masih susah dan berkesempitan yang teramat sangat.

“Kerajaan PH kemudiannya telah berjaya menjayakan konsep negara berkebajikan, dari rakyat untuk rakyat serta merangkumi pelbagai aspek kehidupan rakyat.

“Ia juga telah berjaya meringankan beban dan kos sara hidup, pekerjaan yang lebih baik untuk rakyat dan menyukarkan gabungan Umno-Pas untuk menggugat kekuatan sedia ada.

“Bagaimana PH mengisi kemenangan PRU ke-14 menjadi faktor utama menentukan kedudukan PH menjelang PRU ke-15 yang akan datang walaupun adanya gabungan Umno-Pas yang telah dimeterai,” kata beliau.

Dr Zaidi juga berkata, melihat kepada gabungan Umno-Pas, rakyat belum yakin dengan gabungan ini sama ada ia benar-benar kukuh memandangkan falsafah, fikrah, kefahaman budaya dan ideologi politik kedua-duanya amat berbeza.

“Realitinya pertembungan perbezaan ini begitu besar yang bukan terlalu mudah boleh diselesaikan atas alasan ‘Kita Melayu-Islam’.

“Umno terutamanya belum lagi mampu untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepadanya setelah pemimpin tertingginya diheret seorang demi seorang ke muka pengadilan.

“Di peringkat akar umbi pula, Umno dan Pas tidak begitu mudah untuk ahli-ahli mereka menerima ‘musuh tradisi’ yang berabad-abad lamanya,” tambah beliau.

Namun begitu tegasnya, Umno dan Pas masih mempunyai antara empat hingga lima tahun bagi meyakinkan ahli-ahli parti mereka dan rakyat bahawa mereka mampu untuk duduk bersama.

Secara jujurnya kata beliau, PH tidak boleh mengambil mudah dan memandang enteng ancaman gabungan Umno-Pas tersebut.

Mengenang Morsi : Revolusi Separuh Hati

“Kematian bekas Presiden Morsi selepas bertahun-tahun ditindas kerajaan, dipenjara bersendirian, penjagaan perubatan yang tidak mencukupi, kekurangan lawatan keluarga dan akses kepada peguam,” kata Whitston, beberapa jam selepas kematian Morsi.

Saya dua kali ke Mesir, sebelum dan selepas revolusi.

Negara yang lebih panas dan sejuk dari tempat kita berdasarkan musim. Negara di mana firaun-firaun memerintah dan mati.

Sejak sekolah menengah, saya mengikuti perkembangan Mesir melebihi negara-negara luar lain. Ini kerana bagi kami pelajar aliran agama, Mesir atau lebih tepat Universiti Al Azhar adalah destinasi seterusnya.

Bahkan sehingga kini, selepas 20 tahun menjadi wartawan, saya lebih memahami berita politik di Mesir daripada di Thailand, misalnya.

Saya mengaku bahawa saya adalah simpatisan Muhammad Morsi, presiden Mesir yang pertama dipilih secara demokratik.

Penulis di Dataran Tahrir

Sebelum tidur, tiga hari sudah, saya terkejut membaca berita Morsi jatuh dan mati di ruang mahkamah, memakai baju penjara berwarna biru, selepas berhujah selama 20 minit di mana dia mendedahkan semua pertuduhan yang pengintip yang dihadapinya adalah rekaan olehnya musuh politik dan pihak pendakwa raya.

Presiden Turki ‘Sultan’ Erdogan mengatakan dengan jelas bahawa Morsi syahid dan mati dibunuh.

Bekas ketua perkhidmatan rahsia Perancis Bernard Bajolet, dipetik akhbar Kuwait mendakwa kematian Morsi mungkin ada kaitan dengan kehadiran Penasihat Keselamatan UAE Tahnoon Bin Zayed Al Nahyan ke Kaheran baru-baru ini.

Pengarah eksekutif Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) Timur Tengah dan Afrika Utara, Sarah Leah Whitson, menulis tweet bahawa kematiannya adalah “dahsyat tetapi sudah dijangka”.

“Kematian bekas Presiden Morsi selepas bertahun-tahun ditindas kerajaan, dipenjara bersendirian, penjagaan perubatan yang tidak mencukupi, kekurangan lawatan keluarga dan akses kepada peguam,” kata Whitston, beberapa jam selepas kematian Morsi.

Akhbar burukkan Ikhwanul Muslimin

Saya membaca akhbar berpengaruh Mesir, Al-Ahram, yang memilih untuk memburukkan Ikhwanul Muslimin dan Morsi sebagai cara mengenang kematian bekas presiden mereka sendiri.

Al-Ahram menulis namanya sebagai Mohamed Morsi El-Ayyat, seolah-olah seorang lelaki biasa telah mati sebab-sebab semula jadi, bukan sebagai bekas presiden yang meninggal ketika berhujah di mahkamah.

Akhbar yang diasaskan tokoh kewartawanan Arab Mohammed Hussein Heikal memang dekat dengan pemerintahan tentera sejak zaman Presiden Gamal Abdul Naseer lagi, tapi rencana editorialnya tidak pernah serendah ini.

Bagi saya, mengenang Morsi adalah mengenang orang biasa yang menjadi luar biasa secara tiba-tiba. Namanya tidak pernah didengar dalam politik Mesir di zaman Hosni Mubarak.

 Beliau bukan pilihan pertama Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), sayap politik Ikhwanul Muslimin tetapi dengan menamakan Morsi, FJP mengaut 12.2 juta undi rakyat Mesir (yang sebetulnya undi protes) menewaskan Ahmed Shafik pencabar setia Hosni Mubarak.

Morsi cuba melakukan yang terbaik, mengimbangi kuasa yang terlalu besar, tapi beliau melakukan banyak salah daripada yang betul.

Kesilapan utama Morsi ketika masa ‘bulan madu’ adalah terlalu lambat dan lembut. Morsi tidak tegas menangani permusuhan antara tentera, sektor swasta, dan beberapa negara jiran Mesir.

Morsi, yang berlatar belakang seorang ahli akademik, bukan pemimpin politik yang cekap bermuslihat, beliau cuba memenangi hati semua pihak yang bagaimanapun terluka kerana ketidaktegasannya, sehingga menyebabkan pemegang taruh yang membentuk Mesir Baru rindu kembali pemerintahan yang garang dan berkesan.

Temu janji Morsi-Najib

Jika kita mengkaji apa beza perubahan politik di Indonesia dan Mesir, era Seoharto dan Mubarak, dan selepasnya, kejayaan Indonesia melalui BJ Habibie adalah melakukan reform besar-besaran terhadap undang-undang yang menindas.

Lebih 1,000 akta dan seksyen drakonian dihapuskan ketika era reformasi BH Habibie, memang beliau tidak popular, tetapi Presiden Indonesia selepas BJ Habibie sehingga kini menikmati buah dari usaha yang tidak popular itu.

Pertama, sebagai Presiden Mesir Baru, Morsi gagal untuk melakukan perubahan perlembagaan yang selama ini dibentuk untuk mengekalkan hagemoni tentera Mesir.

Kedua kegagalan melakukan pembaharuan ekonomi yang menjamin keadilan sosial, yang telah menjadi rungutan demostran di Dataran Tahrir.

Inflasi dan kemiskinan meningkat, ekonomi bergerak tanpa hala tuju (Morsi melantik dan memecat tiga menteri kewangan dalam satu tahun).

Manakala kerana sifatnya sebagai Presiden Mesir Baru yang demokratik, Morsi membiarkan bantahan dan demonstrasi mengkritik kerajaan yang dipimpinnya.

Setiap minggu, satu berakhir dengan berganti lagi satu demontrasi anti kerajaan.

Dari tahun 2012 hingga 2013, Kaherah merupakan bandar demonstrasi mingguan sehingga memberi gambaran kepada media dan pelabur asing kerajaan hilang arahan dan kawalan (command and contral) terhadap polis dan tentera.

Saya ingat awal tahun 2013 seorang pegawai bekas Perdana Menteri Najib Razak bersungut kepada saya, bagaimana Morsi membuat temu janji mahu bertemu dengan Najib di KLIA untuk meminta beberapa nasihat sebelum pesawatnya balik semula ke Mesir.

Beliau tidak cukup masa untuk buat lawatan rasmi tiga hari layaknya seorang ketua negara kepada ketua negara yang lain.

Minta nasihat Mahathir

Najib seorang yang menghormati protokol, beliau tidak boleh menemui kepala negara, macam jumpa kawan lama dekat lapangan terbang. Permintaan tersebut ditangguhkan, kebetulan Malaysia pun bersiap nak pilihan raya umum ke 13.

Akhirnya kedua-dua mereka tidak bertemu.

Dr Mahathir Mohamad juga pernah diminta untuk memberikan nasihat kepada Morsi, melalui kumpulan ‘Pakatan Pelangi’ yang dibuat di kalangan intelektual penyokong demokrasi, dan saya difahamkan, permintaan tersebut datang terlalu lambat, hanya tiga bulan sebelum Morsi digulingkan.

Menjelang ulang tahun pertama pemerintahannya, pada Jun 2013, Morsi berdepan demonstrasi harian oleh berbagai pihak, diburukkan lagi dengan sabotaj politik dan ekonomi yang bersistemetik terhadap bekalan elektrik di beberapa kawasan padat di Kaherah, selain kenaikan harga gandum yang diimport daripada luar, gandum di Mesir seperti beras di Malaysia, harga gandum yang tinggi menyebabkan Morsi menjadi tidak popular lagi.

Polis berkawal di perkuburan Morsi dikebumikan.

Pada 3 Julai, tentera Mesir yang selama ini menjadi ‘kerajaan bayangan’ melakukan aksi rampasan kuasa berdarah. Morsi ditahan, ratusan penyokong Ikhwanul Muslimin terbunuh dalam bantahan akhir menghalang rampasan kuasa, ribuan lagi ditangkap.

Morsi yang ucapan pertamanya sebagai Presiden Mesir adalah untuk melaksanakan amanah ‘darah shuhada’ yang menuntut revolusi, akhirnya membayar dengan harga mati.

Ucapan akhirnya beberapa jam sebelum rampasan kuasa, “Sekiranya harga untuk menjaga legitimasi adalah darah saya, saya bersedia untuk mengorbankannya untuk tanah air ini,” terdengar seperti ‘nyanyian angsa’ (swan song).

Ucapan yang gagal memberikan inspirasi seperti kenyataan Erdogan di Turki melalui aplikasi Facetime ketika berdepan situasi yang sama Julai 2016.

Selepas rampasan kuasa tentera, Menteri Pertahanan yang dilantik Morsi, Jeneral Abdel Fattah Al-Sisi mengkhianatinya tanpa belas kasihan, Morsi dituduh pengganas dan pengintip, dikurung di penjara berseorangan selama 23 jam sehari, sepanjang enam tahun dipenjara, hanya tiga kali lawatan keluarga diberikan.

Kita yang membesar dengan membaca Mathurat (disusun pengasas Ikhwanul Muslimin Hassan Al Banna), membaca penderitaan Syed Qutub berjam-jam mendengar pidato Presiden Gamel Abdel Naser melalui pembesar suara dalam sel penjara, mudah untuk bersimpati dengan Morsi.

Beliau menjadi titik yang menyambung penderitaan yang ditanggung Hassan Al Banna, Syed Qutub dan lain-lain yang mengalami ketidakadilan yang kasar dengan dipenjarakan dan diheret ke mahkamah yang tidak bebas, sementara orang yang merompak Mesir dan menganiaya dan melakukan jenayah terhadap rakyatnya berkuasa.

Kita mengakui kelemahan Morsi dan boleh tidak bersetuju dengan banyak dasar beliau, tetapi seorang bekas ketua negara tidak patut diperlakukan seperti itu, yang melanggar semua norma keadilan dan hak asasi manusia.

Morsi telah syahid. Dan seperti martir yang lainnya, lebih terkenal selepas kematiannya.

Mengenang Morsi, saya ingin tutup dengan sebaris perenggan daripada novel Naguib Mahfuz The Beginning and the End.

Ia supaya kita faham bagaimana kuatnya tentera mempengaruhi hati dan minda rakyat Mesir.

“Kawannya memberitahu, pegawai-pegawai tentera sangat sombong dan bergaji tinggi, kerja mereka, seperti bermain, tak buat apa-apa. Keterangan memberikan motivasi kepada Hassanein dan memperteguh impian beliau menjadi pegawai tentera.”

Demokrasi kalah. Morsi kalah. Revolusi di tanah para firaun adalah revolusi separuh hati.

HELME HANAFI ialah penulis dan penerbit buku.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysian Voice

Islam Terancam : Sengaja Dibesar-besarkan – Nik Omar

“Sebenarnya tak ada masalah, bahkan pada tahun pertama lagi kerajaan PH beri peruntukan tambahan (untuk kegiatan Islam) lebih kurang RM100 juta.

Tanggapan bahawa kedudukan Islam terancam di bawah pentadbiran PH didakwa sengaja diwujudkan untuk memainkan sentimen agar imej kerajaan persekutuan buruk, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Isu berkenaan juga, katanya, sengaja dibesar-besarkan untuk menarik sokongan rakyat kepada pihak pengkritik dan menampakkan mereka sebagai parti yang kuat.

“Dalam politik kita memang nak parti kita kuat, tetapi (untuk menguatkan part) jangan sampai ke peringkat mengada-adakan benda yang tak ada.

“Dalam sudut agama perkara ini dilarang, dan ia tidak menguntungkan negara,” katanya.

Anak kepada bekas menteri besar Kelantan itu juga menegaskan, keutamaan rakyat negara ini seharusnya ditumpukan kepada negara, bukan parti atau politik kepartian.

Nik Omar berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program Makan Colek dan Santai Ramadan di Kota Bharu, semalam.

Terdahulu, isu Islam terancam diketengahkan oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya, dengan memberikan markah “kosong peratus” terhadap prestasi pemerkasaan Islam oleh kerajaan PH.

Tak macam dulu

Pada 4 Mei lalu, Isma melalui Gerakan Pembela Ummah menganjurkan himpunan “mempertahankan kedaulatan Islam” di ibu negara atas alasan Islam sekarang terancam.

Perhimpunan itu turut melibatkan pemimpin pembangkang termasuk PAS dan Umno.

Bagaimanapun selepas itu NGO itu menganjurkan program keagamaan dengan kerjasama agensi kerajaan PH di Selangor.

Majlis itu ialah tadarus dan khatam al-Quran anjuran Biro Wanita Isma Shah Alam dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Namun, Aminuddin tetap mempertahankan kenyataannya bahawa Islam terancam di bawah PH meski pun pentadbiran baru memberikan ruang kepada pertubuhan itu untuk menganjurkan program dengan kerjasama agensi kerajaan.

Sementara itu Nik Omar menjelaskan, isu tersebut dimainkan untuk membentuk persepsi negatif terhadap PH walaupun pada hakikatnya keadaan adalah sebaliknya.

“Sebenarnya tak ada masalah, bahkan pada tahun pertama lagi kerajaan PH beri peruntukan tambahan (untuk kegiatan Islam) lebih kurang RM100 juta.

“Takdirnya, saya juga terlibat dalam pengurusan negara, diberi amanah urus satu agensi di bawah seliaan menteri hal ehwal agama dan kita lihat macam mana (keadaan sekarang).

“Contoh paling ketara, sumbangan bertambah kepada institusi pendidikan sama ada sekolah tahfiz swasta atau pondok seluruh Malaysia – itu pun sudah memberikan gambaran betapa pembangunan Islam diberi tumpuan,” katanya.

Nik Omar berkata isu tersebut mungkin terserlah susulan kerajaan memberi ruang lebih terbuka terhadap kebebasan media.

“Maka individu, organisasi diberi peluang, hatta kita tengok beberapa kali perhimpunan diadakan tanpa gangguan, jauh berbeza pengurusan kerajaan sebelum ini,” katanya.

Melayu dan Islam Senjata Pembangkang Tutup Isu Penyelewengan Kerajaan BN – Pengarang Eksekutif Pengeluaran BH

SEJAK Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, banyak pihak, khususnya dalam kalangan pemimpin pembangkang suka menggunakan dua kosa kata umum, iaitu Melayu dan Islam. Tujuannya hanya untuk memperlekeh. Dua kosa kata ini sinonim digunakan dalam mempersoalkan komitmen kerajaan memelihara kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia.

Apa saja isu akan dikaitkan dengan Melayu dan Islam. Penyelewengan dalam Tabung Haji, FELDA dan FELCRA dan terbaru, salah tadbir Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), semuanya institusi dikuasai Melayu dan Islam mahu digambarkan ia agenda sengaja dibuat Kerajaan PH. Tujuannya mahu menunjukkan kelemahan pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN). Bagi pihak yang tidak faham isu, pemikiran mereka mudah dimanipulasi, apatah lagi kalau ia dimomokkan kononnya tindakan yang sedang diambil memberi ancaman ke atas Islam dan Melayu di negara ini.

Sedangkan, langkah sebenar ialah iltizam tinggi kerajaan untuk membersihkan amalan tidak amanah dan salah guna kuasa dalam institusi sehingga boleh menjejaskan ekonomi orang Melayu/Islam. Tabung Haji dan FELDA adalah contoh terbaik bagaimana institusi Melayu/Islam yang satu ketika dulu gah di persada antarabangsa, kini longlai dan sedang disusun semula untuk bangkit kukuh seperti sebelumnya. Ini adalah antara kisah memalukan membabitkan jatuh dan bangunnya institusi serta ekonomi Melayu dan pastinya kita sedang menunggu penyelesaian kemelut berkenaan, bak dialog dalam sebuah filem lama Melayu, siapa yang kena.

Kita sudah menghampiri pertengahan Ramadan dan akan menyambut Aidilfitri. Pengumuman bonus untuk kakitangan awam dan pesara oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Khamis lalu pastinya dapat membantu persediaan menyambut raya walaupun kadarnya tidak memenuhi permintaan CUEPACS. Lebih baik sedikit daripada tiada langsung.

Saban tahun setiap kali Ramadan, kita diketengahkan dengan penderitaan keluarga Melayu/Islam yang masih tidak berumah, jika ada pun penghidupan mereka teramat daif dan di luar pemikiran kita. Kenapa masih ada golongan sebegini di dalam negara, sedangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kita berlumba-lumba mencari dana untuk membantu orang susah di luar negara. Jika pun ia menjadi tanggungjawab pihak berkuasa agama negeri, kenapa tidak dibantu, sedangkan penderitaan ditanggung mereka bukan setahun dua.

Peranan jawatankuasa masjid

Di sinilah pentingnya peranan jawatankuasa masjid dalam menjaga kebajikan anak kariah, sekali gus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa agama. Jika ini diamalkan, tohmahan kononnya pihak berkuasa agama tidak cakna dan gagal mengenal pasti asnaf yang layak dibantu tidak akan timbul, sekali gus dapat mengelakkan netizen mempertikai fungsi pihak berkuasa agama Islam yang dilihat aktif mencari orang tidak berpuasa daripada mencari asnaf untuk dibantu.

Apa pun, keprihatinan rakyat Malaysia untuk meraikan golongan kurang berkemampuan dan anak yatim ketika Ramadan amat tinggi. Mereka dipanggil menyertai majlis berbuka puasa dan diberikan sedikit bantuan makanan atau kewangan di hotel mewah. Bukan semua, tetapi ada yang melayan mereka ala kadar dan meja diletakkan di penjuru atau bahagian belakang dewan dan menjamah makanan sesama mereka. Pada masa yang sama, kita juga mengharapkan tiada lagi kejadian pengurus rumah kebajikan atau rumah anak yatim ‘glamor’ menolak bantuan yang dianggap sedikit nilainya daripada pertubuhan atau orang ramai seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Sesungguhnya, dua kejadian malang membabitkan seorang imam yang ditikam ketika mengalunkan ayat al-Quran selepas Subuh di Jabi, Besut dan seorang tua dibuli hanya kerana menasihatkan anak muda mengerjakan solat Asar di Sijangkang, Selangor ketika Ramadan menyerlahkan kebobrokan masyarakat muda Melayu dalam menghayati ajaran Islam. Adakah masyarakat kita kini semakin alpa dalam soal agama dan menjadikan masjid sekadar untuk bersolat Jumaat sahaja?

Bagi penulis, cetusan di atas sudah menjawab persoalan siapa sebenarnya yang melemahkan Melayu dan Islam. Selamat berbuka.

Penulis adalah Pengarang Eksekutif Pengeluaran BH

Oleh Azhar Abu Samah

azharas@bh.com.my

Kenapa hibah Tabung Haji sangat rendah?

Adalah diingatkan tulisan ini bukan dari orang politik, saya sekadar usaha berkongsi ulasan untuk bacaan orang ramai yang bertanya.

Ada yang bertanya mengapa hibah Tabung Haji sangat rendah? Lalu muncul sedikit kepanikan dan ketidakpuasan hati, sebahagian didasari kebimbangan tulen, sebahagian yang lain pula hanya bersumber kepada sebab kebencian dan perseteruan politik.

Adalah diingatkan tulisan ini bukan dari orang politik, saya sekadar usaha berkongsi ulasan untuk bacaan orang ramai yang bertanya. 

Info dan fakta dalam ulasan saya ini bersumber dari pihak Tabung Haji sendiri dan saya tiada kepentingan dalam TH malah saya telah pun beberapa menunaikan haji melalui perjalanan sendiri sewaktu belajar dahulu, tiada satupun bersama TH.

Ulasan ini dibuat bagi melaksanakan tugasan menjawab soalan mereka yang cintakan ilmu dan kebenaran.

Saya hanya sekadar menyampaikan maklumat sebenar sekdar yang saya faham, saya juga tiada sebarang autoriti atau kuasa untuk menjustifikasi berlebihan, mempertahankan atau mempengaruhi sebarang keputusan komersial, operasi dan penstrukturan oleh pihak TH.

Justeru, jika ada keputusan dan tindakan TH yang tidak dilihat tepat dari sudut komersial, itu adalah perbezaan biasa sudut pandangan komersial dari seseorang individu atau institusi dengan pengurusan TH.

Ia tidak semestinya lebih tepat atau lebih baik dari keputusan TH, kerana TH diyakini lebih fahami luar dalam organisasi yang diurusi mereka.

Tak pelik kadar 1.25 peratus

Telah beberapa bulan saya dan TH memberikan gambaran bahawa hibah memang akan rendah tahun 2018, malah saya juga telah berkongsi info bahawa 1 hingga 2 peratus adalah kemungkinan besar hibah TH bagi tahun 2018, hasil kajian dari kaedah pensturktuan semula yang dilaksana oleh TH.

Justeru, sesiapa yang ikuti isu ini sejak dari awal, sudah tentu tidak pelik dan tidak mengejutkan dengan kadar 1.25 peratus tersebut.

Hibah itu dari Bahasa arab yang ertinya adalah hadiah. Dari sudut kontrak dalam fiqh muamalat, adalah pelik dan tiada kewajaran untuk penerima hibah memarahi hadiah yang kecil diberi oleh pemberi hadiah.

Maka hibah kecil berbanding sebelum tentunya bersebab. Kerana kontrak syarah yang digunapakai oleh Tabung Haji dengan penyimpan adalah Wadi’ah Yad Dhamanah yang bererti kontrak pinjaman wang.

Maka hadiah dan jumlahnya mestilah diberi secara tanpa paksa dan sukarela oleh pemberi hadiah bagi mengelakkan elemen riba. Hal ini juga telah diteliti oleh Majlis Penasihat Shariah TH.

Sekarang apa sebab hibah TH terlalu rendah?

Baiklah, namun apa sebabnya ia terlalu rendah ? Ada pelbagai sebabnya yang tercantum dan membarah antaranya kelemahan pengurusan TH terdahulu, pelanggaran Akta Tabung Haji 1995 serta faktor politik ekonomi dalam dan luar negara.

a) Kelemahan pengurusan terdahulu

Kelemahan pengurusan TH yang dahulu (kerana hibah 2018 adalah refleksi tugasan dan keputusan pengurusan TH sejak dari tahun sebelumnya sehinggalah tahun 2017 dan 2018), sebahagian keputusan ini tidak dianggap jenayah kerana menurut undang-undang, kelemahan ‘certain type of bad investment decision is not a crime’, maka tidak semua jenis kelemahan boleh diheret ke mahkamah.

Sebahagian lagi yang lain, telah pun dilaporkan kepada polis dan dalam siasatan iaitu kes yang merugikan Tabung Haji.

Antara kes-kes yang membawa kerugian seperti arahan untuk tidak menjual saham FGV sehingga kerugian RM1.1 bilion, TH menyelamatkan Ramunia Holdings Bhd (nama lama sebelum ditukar kepada nama TH Heavy Engineering Bhd) sehingga kerugian RM670juta dan TH membeli 30 peratus peilikan dalam syarikat Putrajaya Perdana Berhad melibatkan RM144 juta kerugian.

Menurut laporan TH, Lembaga Pengarah TH baru telah membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Perkhidmatan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli lembaga pengarah dan pengurusan lama.

Laporan pertama melibatkan Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017, di mana dana berjumlah lebih daripada RM22 juta telah dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik. Ia bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan YTH.

Laporan kedua dibuat ke atas beberapa pengurusan TH yang lalu berhubung dengan salah nyata dan penyembunyian maklumat penting yang melibatkan penjualan saham TH dalam tahun 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang oleh dua anak syarikatnya, iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) dengan harga AS$910 juta (RM 3.7 billion).

Laporan ketiga dibuat pada bulan Januari 2019 berhubung dengan akaun kewangan TH bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 (FY17).

Laporan ini melibatkan pembentangan laporan kewangan oleh bekas para eksekutif utama TH sehingga berjaya mengisytiharkan hibah walaupun keuntungan tidak mencukupi, bertentangan dengan Akta Tabung Haji 1995.

Pihak polis sedang membuat siasatan mengikut Seksyen 420 dan 409 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Selain itu, SPRM juga sedang menyiasat ahli lembaga pengarah dan pengurusan yang lama. Lebih banyak laporan polis akan dibuat pada masa hadapan berkaitan dengan kerugian yang dialami oleh TH.


Baca berkaitanTabung Haji buat laporan polis terhadap Azeez, bekas CEO


b) Melanggar Akta Tabung Haji 1995

Mantan gabenor Bank Negara Malaysia, Zeti Akhtar Aziz pernah menulis surat kepada mantan menteri yang bertanggungjawab pada 23 Disember 2015 untuk memberi amaran bahawa TH mengalami masalah kekurangan aset.

Walau bagaimanapun, kerajaan tidak mengambil iktibar daripada amaran tersebut dan terus membenarkan TH membayar hibah (dividen) yang tinggi, walaupun keuntungannya tidak mencukupi.

Melihat laporan kewangan TH tahun 2017, mencatatkan kemerosotan nilai sebanyak RM120.4 juta sahaja, maka seolahnya TH tiada kerugian dan serta asetya melebihi liabiliti termasuk kerugian, namun hakikat sebenarnya ukur rujuk kemerosotan nilai telah diubah, menyalahi standard piawaian perakaunan yang dipakai oleh TH sendiri iaitu menurut Financial Reporting Standard Consensus no 14 di bawah ‘impairment’ mengkehendaki TH merekodkan semua ini sebagai kerugian, apabila ia dikembalikan menurut standard yang betul, kemerosotan nilai tahun 2018 menokok sebanyak 12.5 kali ganda sehingga menjadi RM1.507 bilion.

Inilah yang menjadikan TH kekurangan aset berbanding liabiliti serta menyekat pemberian hibah yang lebih besar.

c) Politik ekonomi dalam dan luar negara

Faktor politik dan ekonomi dalam negara dan juga faktor ekonomi luar negara seperti Federal Reserve USA menaikkan kadar faedahnya sebanyak 4 kali pada tahun 2018, naik dari 2 peratus kepada 2.25 peratus, ini menyebabkan pelabur global mengutamakan Pasaran Saham USA yang lebih menyakinkan berbanding pasaran negara-negara membangun termasuk Malaysia, Trade War di antara China & USA turut beri kesan besar kepada kesatabilan pasaran saham.

Begitu juga juga kekalutan isu Brexit yang pengaruhi seluruh pasaran saham serantau termasuk Asia. Ini tentunya menjadi salah satu penyebab tambahan bagi jatuhnya nilai pelbagai saham yang dipegang oleh TH juga.

Tidak dinafikan, perubahan kerajaan PH dari BN buat pertama kali dalam sejarah Malaysia turut menambah lagi perisa ketidaktentuan pasaran saham di Malaysia. Ia perkara lumrah bagi sebuah perubahan besar dalam sesebuah negara.

Tak untung cuma pusing wang penyimpan

Menurut CEO Tabung Haji Zukri Ab Samat dalam sidang media pengumuman hibah, akta TH menghadkan pemberian hanya pada lebihan (surplus) aset berbanding liabiliti, maka walaupun keuntungan semasa TH adalah RM2.014 bilion, tetapi jumlah yang boleh diagihkan berdasarkan Akta TH (bagi memastikan agar liabiliti tidak lebihi asset lagi) hanayalah RM913 juta sahaja. Itulah jumlah yang membentuk 1.25 peratus hibah tahun 2018 yang terendah dalam sejarah.

Dijelaskan juga oleh pengurusan terkini TH, sejak beberapa tahun dahulu TH mampu memberikan hibah tinggi kerana wujud manipulasi piawaian perakaunan TH dan juga ketidaktepatan kedudukan akaun TH.

Akibatnya hibah bagi beberapa tahun lalu adalah datang dari wang depositor bukannya dari untung perniagaan sebenar. Ia adalah resepi keruntuhan TH sekiranya diteruskan serta tidak diperbaiki dan diperbetulkan.

Bermakna, hibah tinggi masih boleh diberi tetapi dengan cara melanggar akta TH, mengubah ambang kemerosotan nilai secara salah sekaligus melanggar piawaian perakauan TH sendiri dan menggunakan deposit penyimpan.

Ini semua kalau dilakukan pada tahun 2018, pasti boleh memberikan lebih dari 6 peratus hibah tetapi ia salah di sisi undang-undang dan juga syarak serta menjatuhkan standard TH seperti skim cepat kaya pak man telo yang menggunakan duit pelabur awal untuk membayar pelabur terkemudian, bukan didasari oleh untung perniagaan tetapi memusing-musing wang penyimpan.

Kerajaan biaya kos selamatkan TH

Berdasarkan maklumat dari sidang akhbar TH, Iaitu melalui suntikan dana bersih sejumlah RM17.8 bilion ke dalam TH akan dibiayai oleh kerajaan dalam tempoh 10 tahun, iaitu dari tahun 2020 sehingga tahun 2030.

Kerajaan menerusi sebuah syarikat tujuan khas atau special purpose vehicle (SPV), iaitu Urus Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang diketuai oleh CEO yang baru dilantik iaitu Izad Shahadi, membeli aset TH yang kini bernilai hanya RM9.7 bilion dengan harga yang lebih tinggi pada RM19.9 bilion.

Pembayaran RM19.9 bilion ini terdiri daripada:

a. RM10.0 bilion dalam bentuk sukuk berkupon sifar dengan pulangan 4.05% setahun bertempoh 7 tahun.

b. RM9.6 bilion dalam bentuk sukuk berkupon sifar dengan pulangan 4.10% setahun bertempoh 10 tahun.

c. RM0.3 bilion dalam bentuk bayaran tunai yang dijana menerusi aset RM9.7 bilion yang telah dijual kepada SPV (dividen dan sewa yang diperolehi).

Dengan penerimaan aset-aset bernilai RM19.9 bilion, nilai aset TH akan bertambah dan melebihi liabilitinya sambil mematuhi piawaian yang sepatutnya.

Dengan peningkatan nilai asetnya, TH akan terus mampu membayar hibah menurut keuntungan yang diperolehi pada masa depan.

Dengan kata lain, kerajaan akan menanggung beban kewangan sebanyak RM19.6 bilion untuk menyelamatkan TH.

Kos yang akan ditanggung oleh kerajaan ke atas sukuk bernilai RM19.6 bilion tersebut dianggarkan sebanyak RM7.9 bilion, dan ini juga akan dibiayai oleh kerajaan. Ini menjadikan tanggungan kasar kerajaan untuk menyelamatkan TH sebanyak RM27.5 bilion yang disandarkan kepada aset bernilai RM9.7 bilion.

Selepas menolak nilai aset sebanyak RM9.7 bilion, kerajaan akan membuat suntikan dana bersih sebanyak RM17.8 bilion ke dalam TH yang akan dibayar dalam tempoh 10 tahun.

Berdasarkan kenyataan CEO TH, rumusannya keadaan TH sekarang adalah:

  • Defisit telah berjaya ditutup. Hibah boleh diagihkan mengikut Akta Tabung Haji.
  • Semua kerugian rosot nilai telah direkodkan. Dijangka tiada lagi kejutan di masa hadapan.
  • Kedudukan kewangan telah pulih. Pulangan yang stabil daripada aset yang berdaya saing.
  • Sokongan daripada kerajaan melalui peruntukan tahunan diberikan untuk memastikan semua sukuk ditebus semula oleh SPV.
  • Hak keutamaan dimiliki TH yang mana TH boleh mengambil semula aset yang telah dipindahkan setelah dipulihkan.
  • Tadbir Urus dan ketelusan yang lebih baik. Pengawalseliaan yang diperkukuhkan serta pengurusan pelaburan dan risiko yang lebih mampan.
  • Subsidi haji masih ada bagi mereka yang ingin menunaikan haji termasuk pengiring.
  • Simpanan penyimpan semua selamat malah dijamin 100 peratus oleh kerajaan.
  • Aset yang dipegang oleh SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) kini diuruskan sendiri oleh UJSB yang diketuai oleh CEO Melayu Muslim bernama Izad Shahadi Mohd Sallehuddin dengan dibimbing oleh 5 orang ahli Lembaga Pengarah yang semuanya Islam. Prokhas dan CEO berbangsa Cina tiada lagi peranan dalam hal ini.
  • Keputusan besar dan penting berkaitan urusan TH semuanya dibawa ke kabinet menteri dan tiada sama sekali dikawal oleh menteri kewangan atau mana-mana bukan muslim. TH adalah di bawah tugasan perdana menteri dan menteri hal ehwal agama sahaja.

Pandangan saya bagi pendepositor, bagi sesiapa yang menyimpan untuk menunaikan haji, terlebih baik untuk mereka kekal dalam TH bagi melunaskan hasrat mulia dan kewajiban haji terbabit serta mendapat subsidi haji dari TH.

Bagi penyimpan untuk keuntungan yang lain dari itu termasuklah 1.3 peratus penyimpan kaya di TH yang merupakan pemegang RM37 bilion daripada keseluruhan jumlah simpanan RM74 bilion wang penyimpan, bertenanglah sekejap dan kemudian dengar dan fahami penjelasan pihak Tabung Haji dan bukan orang politik dari mana-mana parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan (mereka saling melobi sokongan).

Sebaiknya fahamkan penjelasan CEO Tabung Haji Zukri Samad sebagaimana yang beliau huraikan dalam suatu sidang media.

Biarlah kita mengambil maklumat dari bukan orang politik, ia lebih terpercaya.

Jika masih tidak percaya, maka duit simpanan itu adalah duit anda, anda paling berhak menentukan keputusan terbaiknya. 

Tahniah bagi mereka yang mampu membaca dan berusaha faham dari awal sehingga di para terakhir ini. Semoga hidayah dan kebenaran milik kita bersama.