Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 8 Julai untuk sebutan semula kes anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam dan Ketua Umno Petaling Jaya Abdul Mutalif Abdul Rahim dan dua lagi individu yang didakwa atas dua pertuduhan mencederakan seorang penuntut universiti, Mac lepas.
Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 8 Julai untuk
sebutan semula kes anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam
dan Ketua Umno Petaling Jaya Abdul Mutalif Abdul Rahim dan dua lagi
individu yang didakwa atas dua pertuduhan mencederakan seorang penuntut
universiti, Mac lepas.
Majistret Tawfiq Affandy Chin menetapkan
tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim
memberitahu mahkamah bahawa terdapat beberapa dokumen yang belum lengkap
kerana masih dalam siasatan.
“Hari ini pihak pendakwaan telah menyerahkan lapan dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pasukan pembelaan.
“Namun,
pihak pendakwaan memerlukan tarikh lain bagi penyerahan dokumen
selanjutnya dalam kes ini,” katanya pada sebutan kes itu hari ini.
Pada
28 Mac lepas, Lokman Noor, 46; Abdul Mutalif, 48 yang juga adik Anggota
Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Salmon Arif Budiman
Mychlis, 48, (kerani Pejabat Umno Lembah Pantai) dan Mohd Norzakifah
Mohamed Nawi, 44 (penghantar surat sebuah firma guaman), masing-masing
mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mencederakan seorang penuntut
universiti, Mac lepas.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua,
keempat-empat tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas sebagai
anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang dan bagi melaksanakan
tujuan bersama perhimpunan itu telah melakukan mudarat awam dan seorang
daripada tertuduh telah menyebabkan kecederaan kepada Wong Yang Ke, 23,
penuntut Universiti Malaya, dengan cara memegang rahang, menarik leher
dan menarik rambut mangsa dari arah belakang.
Mereka dituduh
melakukan perbuatan itu di perhentian bas, di hadapan Restoran Amjal,
Jalan Pantai Baharu, Brickfields, di Kuala Lumpur, pada 3.30 petang, 22
Mac lepas.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen
323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 149 kanun sama memperuntukkan
hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau
kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Lokman Noor juga didakwa atas
satu pertuduhan dengan niat hendak menyebabkan kerugian kepada mangsa
sama, dengan cara mengoyakkan plakad milik mangsa di tempat, tarikh dan
masa sama.
Lokman Noor mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu
yang dikemukakan mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan memperuntukkan
hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika
sabit kesalahan.
Abdul Mutalif juga mengaku tidak bersalah atas
pertuduhan dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Siti
Mariam Mohamad Nizar, 25, pelatih portal berita, pada ibu jari tangan
kanan mangsa di Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, Brickfields, di
Kuala Lumpur pada 3.45 petang, 22 Mac lepas mengikut Seksyen 323 Kanun
Keseksaan memperuntukkan hukuman serupa.
Lelaki
itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu dengan
sengaja telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama di
tempat dan tarikh sama mengikut seksyen serupa.
Peguam N.Logendran
mewakili Lokman Noor manakala peguam Azrul Zulkifli Stork mewakili
Abdul Mutalif dan peguam Datuk M.Reza Hassan mewakili Salmon Arif
Budiman dan Mohd Norzakifah.
– Bernama