Enggan Diaudit MAIWP : IKSIM Didaksa Seleweng Duit Zakat

“Sejak dari awal penubuhan Iksim lagi, Pasukan Audit Dalam (PAD) MAIWP gagal memahami prinsip separate legal entity antara Iksim yang ditubuhkan sebagai Syarikat Berhad Menurut jaminan (SBMJ) di bawah Akta Syarikat 1975 dan MAIWP yang ditubuhkan menurut Akta 505.

Institut Kajian Strategik Islam (Iksim) menolak audit Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atas alasan badan itu tidak berada bawah bidang kuasanya.

Iksim yang ditubuhkan semasa pentadbiran Najib Razak disiasat atas dakwaan penyelewengan wang zakat berjumlah RM10 juta, lapor The Malaysian Insight.

Sebelum ini MAIWP berhujah pihaknya mempunyai kuasa memerintahkan audit kerana majlis agama itu telah memindahkan RM10 juta kepada Iksim pada Januari 2018.

Image result for maiwp

Menurut surat yang dilihat oleh portal berita itu, Iksim menegaskan bahawa mereka bukan anak syarikat MAIWP kerana telah dibentuk sebagai sebuah syarikat pada 2014, dan telah diaudit.

Iksim juga berkeras bahawa pasukan audit MAIWP tidak berhak mengaudit perbelanjaan dana yang diperolehi daripada majlis agama itu.

Alasan yang diberikan adalah Iksim ditubuhkan sebagai sebuah syarikat manakala MAIWP pula mengikut Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 (Akta 505).

“Sejak dari awal penubuhan Iksim lagi, Pasukan Audit Dalam (PAD) MAIWP gagal memahami prinsip separate legal entity antara Iksim yang ditubuhkan sebagai Syarikat Berhad Menurut jaminan (SBMJ) di bawah Akta Syarikat 1975 dan MAIWP yang ditubuhkan menurut Akta 505.

“Iksim bukan anak syarikat MAIWP yang memberi hak kepada PAD MAIWP untuk melakukan pengauditan secara (menyeluruh) kerana IKSIM telah diaudit secara profesional, telus dan adil oleh juruaudit bertauliah untuk tahun kewangan 2015 dan 2016,” surat itu dipetik.

Menurut surat itu lagi, audit berkenaan bagaimanapun tetap dijalankan dan Iksim dalam suratnya kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Abdul Aziz Jusoh menjelaskan ia terpaksa merelakannya kerana bimbang tidak menerima dana.

“Oleh kerana IKSIM telah diugut tentang penyaluran dana RM2 juta yang tertunggak pada bulan Mei sebagaimana yang telah diluluskan JKB, IKSIM terpaksa akur dengan kehendak PAD MAIWP yang berkeras untuk melakukan pemeriksaan audt secara (menyeluruh),” kata surat itu lagi.

Selain itu, institut berkenaan juga menegaskan, perbelanjaaan ke atas dana yang diperolehi daripada kutipan zakat fi sabilillah itu memadai diperjelas kepada jawatankuasa baitulmal MAIWP sahaja.

Tidak lama selepas berkuasa, kerajaan Pakatan Harapan membekukan akaun Iksim bagi melalui proses pemulihan daripada unsur penyelewengan dana korporat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dr Mujahid Yusof, berkata selepas audit dalam terhadap Iksim dibuat, pihaknya mendapati sejumlah RM7.4 juta perbelanjaan daripada RM7.6 juta yang diterima daripada MAIWP tidak dapat dikesan.

Mujahid berkata hanya 2.2 peratus daripada dana tersebut dapat dikesan melalui butiran transaksi.

Namun Iksim menuduh kenyataan Mujahid sebagai fitnah dan menyifatkan MAIWP bukan juruaudit bertauliah. Mediasedang cuba mendapatkan reaksi MAIWP dan menteri bertanggungjawab.

Kenapa hibah Tabung Haji sangat rendah?

Adalah diingatkan tulisan ini bukan dari orang politik, saya sekadar usaha berkongsi ulasan untuk bacaan orang ramai yang bertanya.

Ada yang bertanya mengapa hibah Tabung Haji sangat rendah? Lalu muncul sedikit kepanikan dan ketidakpuasan hati, sebahagian didasari kebimbangan tulen, sebahagian yang lain pula hanya bersumber kepada sebab kebencian dan perseteruan politik.

Adalah diingatkan tulisan ini bukan dari orang politik, saya sekadar usaha berkongsi ulasan untuk bacaan orang ramai yang bertanya. 

Info dan fakta dalam ulasan saya ini bersumber dari pihak Tabung Haji sendiri dan saya tiada kepentingan dalam TH malah saya telah pun beberapa menunaikan haji melalui perjalanan sendiri sewaktu belajar dahulu, tiada satupun bersama TH.

Ulasan ini dibuat bagi melaksanakan tugasan menjawab soalan mereka yang cintakan ilmu dan kebenaran.

Saya hanya sekadar menyampaikan maklumat sebenar sekdar yang saya faham, saya juga tiada sebarang autoriti atau kuasa untuk menjustifikasi berlebihan, mempertahankan atau mempengaruhi sebarang keputusan komersial, operasi dan penstrukturan oleh pihak TH.

Justeru, jika ada keputusan dan tindakan TH yang tidak dilihat tepat dari sudut komersial, itu adalah perbezaan biasa sudut pandangan komersial dari seseorang individu atau institusi dengan pengurusan TH.

Ia tidak semestinya lebih tepat atau lebih baik dari keputusan TH, kerana TH diyakini lebih fahami luar dalam organisasi yang diurusi mereka.

Tak pelik kadar 1.25 peratus

Telah beberapa bulan saya dan TH memberikan gambaran bahawa hibah memang akan rendah tahun 2018, malah saya juga telah berkongsi info bahawa 1 hingga 2 peratus adalah kemungkinan besar hibah TH bagi tahun 2018, hasil kajian dari kaedah pensturktuan semula yang dilaksana oleh TH.

Justeru, sesiapa yang ikuti isu ini sejak dari awal, sudah tentu tidak pelik dan tidak mengejutkan dengan kadar 1.25 peratus tersebut.

Hibah itu dari Bahasa arab yang ertinya adalah hadiah. Dari sudut kontrak dalam fiqh muamalat, adalah pelik dan tiada kewajaran untuk penerima hibah memarahi hadiah yang kecil diberi oleh pemberi hadiah.

Maka hibah kecil berbanding sebelum tentunya bersebab. Kerana kontrak syarah yang digunapakai oleh Tabung Haji dengan penyimpan adalah Wadi’ah Yad Dhamanah yang bererti kontrak pinjaman wang.

Maka hadiah dan jumlahnya mestilah diberi secara tanpa paksa dan sukarela oleh pemberi hadiah bagi mengelakkan elemen riba. Hal ini juga telah diteliti oleh Majlis Penasihat Shariah TH.

Sekarang apa sebab hibah TH terlalu rendah?

Baiklah, namun apa sebabnya ia terlalu rendah ? Ada pelbagai sebabnya yang tercantum dan membarah antaranya kelemahan pengurusan TH terdahulu, pelanggaran Akta Tabung Haji 1995 serta faktor politik ekonomi dalam dan luar negara.

a) Kelemahan pengurusan terdahulu

Kelemahan pengurusan TH yang dahulu (kerana hibah 2018 adalah refleksi tugasan dan keputusan pengurusan TH sejak dari tahun sebelumnya sehinggalah tahun 2017 dan 2018), sebahagian keputusan ini tidak dianggap jenayah kerana menurut undang-undang, kelemahan ‘certain type of bad investment decision is not a crime’, maka tidak semua jenis kelemahan boleh diheret ke mahkamah.

Sebahagian lagi yang lain, telah pun dilaporkan kepada polis dan dalam siasatan iaitu kes yang merugikan Tabung Haji.

Antara kes-kes yang membawa kerugian seperti arahan untuk tidak menjual saham FGV sehingga kerugian RM1.1 bilion, TH menyelamatkan Ramunia Holdings Bhd (nama lama sebelum ditukar kepada nama TH Heavy Engineering Bhd) sehingga kerugian RM670juta dan TH membeli 30 peratus peilikan dalam syarikat Putrajaya Perdana Berhad melibatkan RM144 juta kerugian.

Menurut laporan TH, Lembaga Pengarah TH baru telah membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Perkhidmatan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli lembaga pengarah dan pengurusan lama.

Laporan pertama melibatkan Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017, di mana dana berjumlah lebih daripada RM22 juta telah dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik. Ia bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan YTH.

Laporan kedua dibuat ke atas beberapa pengurusan TH yang lalu berhubung dengan salah nyata dan penyembunyian maklumat penting yang melibatkan penjualan saham TH dalam tahun 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang oleh dua anak syarikatnya, iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) dengan harga AS$910 juta (RM 3.7 billion).

Laporan ketiga dibuat pada bulan Januari 2019 berhubung dengan akaun kewangan TH bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 (FY17).

Laporan ini melibatkan pembentangan laporan kewangan oleh bekas para eksekutif utama TH sehingga berjaya mengisytiharkan hibah walaupun keuntungan tidak mencukupi, bertentangan dengan Akta Tabung Haji 1995.

Pihak polis sedang membuat siasatan mengikut Seksyen 420 dan 409 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Selain itu, SPRM juga sedang menyiasat ahli lembaga pengarah dan pengurusan yang lama. Lebih banyak laporan polis akan dibuat pada masa hadapan berkaitan dengan kerugian yang dialami oleh TH.


Baca berkaitanTabung Haji buat laporan polis terhadap Azeez, bekas CEO


b) Melanggar Akta Tabung Haji 1995

Mantan gabenor Bank Negara Malaysia, Zeti Akhtar Aziz pernah menulis surat kepada mantan menteri yang bertanggungjawab pada 23 Disember 2015 untuk memberi amaran bahawa TH mengalami masalah kekurangan aset.

Walau bagaimanapun, kerajaan tidak mengambil iktibar daripada amaran tersebut dan terus membenarkan TH membayar hibah (dividen) yang tinggi, walaupun keuntungannya tidak mencukupi.

Melihat laporan kewangan TH tahun 2017, mencatatkan kemerosotan nilai sebanyak RM120.4 juta sahaja, maka seolahnya TH tiada kerugian dan serta asetya melebihi liabiliti termasuk kerugian, namun hakikat sebenarnya ukur rujuk kemerosotan nilai telah diubah, menyalahi standard piawaian perakaunan yang dipakai oleh TH sendiri iaitu menurut Financial Reporting Standard Consensus no 14 di bawah ‘impairment’ mengkehendaki TH merekodkan semua ini sebagai kerugian, apabila ia dikembalikan menurut standard yang betul, kemerosotan nilai tahun 2018 menokok sebanyak 12.5 kali ganda sehingga menjadi RM1.507 bilion.

Inilah yang menjadikan TH kekurangan aset berbanding liabiliti serta menyekat pemberian hibah yang lebih besar.

c) Politik ekonomi dalam dan luar negara

Faktor politik dan ekonomi dalam negara dan juga faktor ekonomi luar negara seperti Federal Reserve USA menaikkan kadar faedahnya sebanyak 4 kali pada tahun 2018, naik dari 2 peratus kepada 2.25 peratus, ini menyebabkan pelabur global mengutamakan Pasaran Saham USA yang lebih menyakinkan berbanding pasaran negara-negara membangun termasuk Malaysia, Trade War di antara China & USA turut beri kesan besar kepada kesatabilan pasaran saham.

Begitu juga juga kekalutan isu Brexit yang pengaruhi seluruh pasaran saham serantau termasuk Asia. Ini tentunya menjadi salah satu penyebab tambahan bagi jatuhnya nilai pelbagai saham yang dipegang oleh TH juga.

Tidak dinafikan, perubahan kerajaan PH dari BN buat pertama kali dalam sejarah Malaysia turut menambah lagi perisa ketidaktentuan pasaran saham di Malaysia. Ia perkara lumrah bagi sebuah perubahan besar dalam sesebuah negara.

Tak untung cuma pusing wang penyimpan

Menurut CEO Tabung Haji Zukri Ab Samat dalam sidang media pengumuman hibah, akta TH menghadkan pemberian hanya pada lebihan (surplus) aset berbanding liabiliti, maka walaupun keuntungan semasa TH adalah RM2.014 bilion, tetapi jumlah yang boleh diagihkan berdasarkan Akta TH (bagi memastikan agar liabiliti tidak lebihi asset lagi) hanayalah RM913 juta sahaja. Itulah jumlah yang membentuk 1.25 peratus hibah tahun 2018 yang terendah dalam sejarah.

Dijelaskan juga oleh pengurusan terkini TH, sejak beberapa tahun dahulu TH mampu memberikan hibah tinggi kerana wujud manipulasi piawaian perakaunan TH dan juga ketidaktepatan kedudukan akaun TH.

Akibatnya hibah bagi beberapa tahun lalu adalah datang dari wang depositor bukannya dari untung perniagaan sebenar. Ia adalah resepi keruntuhan TH sekiranya diteruskan serta tidak diperbaiki dan diperbetulkan.

Bermakna, hibah tinggi masih boleh diberi tetapi dengan cara melanggar akta TH, mengubah ambang kemerosotan nilai secara salah sekaligus melanggar piawaian perakauan TH sendiri dan menggunakan deposit penyimpan.

Ini semua kalau dilakukan pada tahun 2018, pasti boleh memberikan lebih dari 6 peratus hibah tetapi ia salah di sisi undang-undang dan juga syarak serta menjatuhkan standard TH seperti skim cepat kaya pak man telo yang menggunakan duit pelabur awal untuk membayar pelabur terkemudian, bukan didasari oleh untung perniagaan tetapi memusing-musing wang penyimpan.

Kerajaan biaya kos selamatkan TH

Berdasarkan maklumat dari sidang akhbar TH, Iaitu melalui suntikan dana bersih sejumlah RM17.8 bilion ke dalam TH akan dibiayai oleh kerajaan dalam tempoh 10 tahun, iaitu dari tahun 2020 sehingga tahun 2030.

Kerajaan menerusi sebuah syarikat tujuan khas atau special purpose vehicle (SPV), iaitu Urus Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang diketuai oleh CEO yang baru dilantik iaitu Izad Shahadi, membeli aset TH yang kini bernilai hanya RM9.7 bilion dengan harga yang lebih tinggi pada RM19.9 bilion.

Pembayaran RM19.9 bilion ini terdiri daripada:

a. RM10.0 bilion dalam bentuk sukuk berkupon sifar dengan pulangan 4.05% setahun bertempoh 7 tahun.

b. RM9.6 bilion dalam bentuk sukuk berkupon sifar dengan pulangan 4.10% setahun bertempoh 10 tahun.

c. RM0.3 bilion dalam bentuk bayaran tunai yang dijana menerusi aset RM9.7 bilion yang telah dijual kepada SPV (dividen dan sewa yang diperolehi).

Dengan penerimaan aset-aset bernilai RM19.9 bilion, nilai aset TH akan bertambah dan melebihi liabilitinya sambil mematuhi piawaian yang sepatutnya.

Dengan peningkatan nilai asetnya, TH akan terus mampu membayar hibah menurut keuntungan yang diperolehi pada masa depan.

Dengan kata lain, kerajaan akan menanggung beban kewangan sebanyak RM19.6 bilion untuk menyelamatkan TH.

Kos yang akan ditanggung oleh kerajaan ke atas sukuk bernilai RM19.6 bilion tersebut dianggarkan sebanyak RM7.9 bilion, dan ini juga akan dibiayai oleh kerajaan. Ini menjadikan tanggungan kasar kerajaan untuk menyelamatkan TH sebanyak RM27.5 bilion yang disandarkan kepada aset bernilai RM9.7 bilion.

Selepas menolak nilai aset sebanyak RM9.7 bilion, kerajaan akan membuat suntikan dana bersih sebanyak RM17.8 bilion ke dalam TH yang akan dibayar dalam tempoh 10 tahun.

Berdasarkan kenyataan CEO TH, rumusannya keadaan TH sekarang adalah:

  • Defisit telah berjaya ditutup. Hibah boleh diagihkan mengikut Akta Tabung Haji.
  • Semua kerugian rosot nilai telah direkodkan. Dijangka tiada lagi kejutan di masa hadapan.
  • Kedudukan kewangan telah pulih. Pulangan yang stabil daripada aset yang berdaya saing.
  • Sokongan daripada kerajaan melalui peruntukan tahunan diberikan untuk memastikan semua sukuk ditebus semula oleh SPV.
  • Hak keutamaan dimiliki TH yang mana TH boleh mengambil semula aset yang telah dipindahkan setelah dipulihkan.
  • Tadbir Urus dan ketelusan yang lebih baik. Pengawalseliaan yang diperkukuhkan serta pengurusan pelaburan dan risiko yang lebih mampan.
  • Subsidi haji masih ada bagi mereka yang ingin menunaikan haji termasuk pengiring.
  • Simpanan penyimpan semua selamat malah dijamin 100 peratus oleh kerajaan.
  • Aset yang dipegang oleh SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) kini diuruskan sendiri oleh UJSB yang diketuai oleh CEO Melayu Muslim bernama Izad Shahadi Mohd Sallehuddin dengan dibimbing oleh 5 orang ahli Lembaga Pengarah yang semuanya Islam. Prokhas dan CEO berbangsa Cina tiada lagi peranan dalam hal ini.
  • Keputusan besar dan penting berkaitan urusan TH semuanya dibawa ke kabinet menteri dan tiada sama sekali dikawal oleh menteri kewangan atau mana-mana bukan muslim. TH adalah di bawah tugasan perdana menteri dan menteri hal ehwal agama sahaja.

Pandangan saya bagi pendepositor, bagi sesiapa yang menyimpan untuk menunaikan haji, terlebih baik untuk mereka kekal dalam TH bagi melunaskan hasrat mulia dan kewajiban haji terbabit serta mendapat subsidi haji dari TH.

Bagi penyimpan untuk keuntungan yang lain dari itu termasuklah 1.3 peratus penyimpan kaya di TH yang merupakan pemegang RM37 bilion daripada keseluruhan jumlah simpanan RM74 bilion wang penyimpan, bertenanglah sekejap dan kemudian dengar dan fahami penjelasan pihak Tabung Haji dan bukan orang politik dari mana-mana parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan (mereka saling melobi sokongan).

Sebaiknya fahamkan penjelasan CEO Tabung Haji Zukri Samad sebagaimana yang beliau huraikan dalam suatu sidang media.

Biarlah kita mengambil maklumat dari bukan orang politik, ia lebih terpercaya.

Jika masih tidak percaya, maka duit simpanan itu adalah duit anda, anda paling berhak menentukan keputusan terbaiknya. 

Tahniah bagi mereka yang mampu membaca dan berusaha faham dari awal sehingga di para terakhir ini. Semoga hidayah dan kebenaran milik kita bersama.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS letak jawatan

Pesuruhjaya Perlindungan Sempadan dan Kastam AS Kevin McAleenan akan memangku jawatan itu, kata Trump.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad menulis di akaun Twitter bahawa Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Kirstjen Nielsen “akan mengosongkan jawatannya,” lapor agensi berita China Xinhua.

Pesuruhjaya Perlindungan Sempadan dan Kastam AS Kevin McAleenan akan memangku jawatan itu, kata Trump.

Pengumuman itu dibuat selepas media AS melaporkan bahawa Nielsen menghantar surat peletakan jawatan beliau pada Ahad dalam satu pertemuan dengan Trump.

“Meskipun terdapat kemajuan dalam pembaharuan keselamatan dalam negeri untuk berdepan era baharu, saya berpendapat ini adalah masa yang tepat untuk saya mengundurkan diri. Saya harap setiausaha berikutnya akan memiliki sokongan Kongres dan mahkamah,” kata Nielsen dalam surat peletakan jawatannya.

Tidak jelas apa alasan peletakan jawatan Nielsen.

Media AS iaitu CNN memetik seorang pegawai kerajaan sebagai berkata Nielsen mendapati bahawa beliau “tidak dapat bertahan” susulan permintaan yang dibuat oleh Trump.

New York Times melaporkan bahawa Trump tidak gembira dengan Nielsen kerana jumlah pendatang haram yang memasuki AS meningkat dan menyalahkan beliau kerana tidak melakukan tindakan sewajarnya untuk menjaga kawasan sempadan.

Nielsen, 46, telah dilantik ke jawatan itu pada 6 Dis 2017 selepas penyandangnya, John Kelly dinaikkan pangkat sebagai ketua turus kakitangan Rumah Putih manakala McAleenan, 47, bertugas sebagai Pesuruhjaya Perlindungan Sempadan dan Kastam sejak 20 Jan 2017.

– Bernama

Rosmah ditangkap SPRM

Isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor hari ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor hari ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut kenyataan agensi antirasuah itu Rosmah ditahan berhubung siasatan mereka terhadap projek tenaga solar kerajaan.

Kata SPRM mereka menahan isteri Najib Razak itu kira-kira lima minit selepas beliau hadir untuk melengkapkan proses akhir siasatan projek tersebut pada jam 1.40 petang.

“SPRM telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Rosmah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi esok,” katanya.

Menurut SPRM Rosmah sudah dibebaskan dengan jaminan petang ini.

Esok tokoh berprofil tinggi itu akan berdepan dengan tuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Mengikut peruntukan itu seseorang itu boleh dianggap bersalah jika menerima atau bersetuju untuk menerima suapan untuk diri sendiri atau orang lain.

Jika didapati bersalah Rosmah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan, atau RM10,000 bergantung kepada mana yang lebih tinggi.

Untuk rekod sebelum ini pun Rosmah sudah berdepan dengan 22 tuduhan di mahkamah, termasuk 17 membabitkan dakwaan pengubahan wang haram.

Beliau didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001

Tuduhan lain yang dikenakan ke atas Rosmah ialah meminta rasuah sebanyak RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta bagi projek bersepadu solar hibrid untuk sekolah di Sarawak.

PM S’pura: Saya tak mahu hubungan dengan M’sia terjejas

Perdana Menteri Singapura bimbang hubungan negaranya dengan Malaysia “tidak berada di landasan yang betul”.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengimbas kembali bagaimana beliau cuba “memperbaiki” hubungan dua hala dengan Malaysia.

Bercakap selepas pemukiman tahunan pemimpin Malaysia-Singapura hari ini, beliau berkata hubungan itu berisiko terjejas jika isu maritim dan ruang udara tidak dikendali dengan baik.

“Ini adalah isu-isu yang berterusan kerana sempadan maritim sentiasa ada.

“Kita akan sentiasa ada keperluan penerbangan awam (dan) kedua-dua negara juga ada keperluan untuk bersetuju dalam soal pengurusan ruang udara,” katanya ketika ditanya tentang perkara itu dalam sidang media bersama Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kedua-dua negara akan mendapat manfaat jika isu itu dapat dikendali dengan baik dan jika tidak, ia akan mencetuskan banyak masalah dan menjejaskan hubungan dua negara.

Katanya lagi, beliau sebelum ini bimbang hubungan negaranya dengan Malaysia “tidak berada di landasan yang betul”.

“Itulah sebabnya saya menulis surat kepada Dr Mahathir pada Disember lalu dan meminta Timbalan Perdana Menteri (Singapura) Teo CHee Hean untuk berkunjung, bersama-sama Menteri Kewangan Heng Swe Keat.

“…Dan saya sangat gembira apabila Dr Mahathir setuju bertemu dengan mereka, mendengar pandangan mereka dan mengambil tindakan yang membolehkan menteri kami bertemu dengan menteri mereka untuk memperbaiki keadaan, dan membawa (kita) di mana kita berada hari ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Mahathir berkata hubungan dua hala Malaysia dan Singapura sentiasa dalam keadaan baik, walaupun dengan “masalah”.

“Sekurang-kurangnya kita sentiasa berbincang. Dan bila kita ada masalah ada kala kita suarakan secara terbuka, ada juga secara tertutup.

“Apa yang kita tidak lakukan adalah berkonfrontasi atau malah memutuskan untuk menyelesaikan masalah melalui tindakan ganas seperti berperang dengan Singapura,” katanya lagi.

Design a site like this with WordPress.com
Get started